Tuesday, April 17, 2012

Surat terbuka kepada pejuang Melayu

Ramai kalangan individu dan kumpulan yang mengisytiharkan menjadi pejuang Melayu, secara laungan lisan yang bersuara dan tulisan yang dicatit di dada akhabar, majalah dan sepanduk yang direntang, semuanya penuh bersemangat yang berkobar-kobar, sehingga sanggup melakukan apa sahaja. Bagi penganut Islam, yang menjadi kebanggaan bangsa Melayu juga, wajiblah benar-benar ikhlas kerana Allah dan kepada Allah kembalinya, hendaklah menjadikan Islam itu satu-satunya petunjuk yang diyakini benarnya menyelamatkan manusia seluruhnya, termasuklah bangsa Melayu.

Saya ulangi kenyataan saya, bahawa tidak menjadi salah, kecintaan seseorang itu, atau kumpulannya atau bangsanya terhadap bangsanya, kerana inilah sifat semula jadi manusia yang disebut fitrah atau naluri, tetapi sifat fitrah  juga adanya dalam alam dunia ini berbagai bangsa, suku kaum, berkeluarga  yang hidup secara bermasyarakat, sehingga tidak mungkin bersendirian. Inilah ketetapan Allah pencipta alam yang dipuji setiap rakaat sembahyang.


Allah berfirman (maksudnya): Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku kaum, supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal. (Al-Hujurat: 13)

Kita tidak dapat menghapuskan sifat fitrah kecintaan kepada bangsa, samalah juga tidak boleh menghapuskan wujudnya berbagai bangsa, serta tidak dapat menghapuskan wajibnya hidup bermasyarakat, sehingga Ibnu Khaldun, seorang tokoh ilmuan sedunia menegaskan ;”Manusia itu bersifat masyarakat madani secara tabiinya”.

Nabi Muhammad s.a.w yang dilantik menjadi Rasul kepada seluruh manusia juga sayangkan bangsa dan tanah air, tetapi kesayangan dan kecintaan itu diatur dengan petunjuk Islam, tanpa merosakkan hubungan kemanusiaan di kalangan berbagai bangsa dan suku kaum serta berbagai agama yang wajib hidup bermasyarakat, walaupun menegaskan hanya Islam yang diakui benarnya. Namun tidak boleh memaksa sesama manusia, kerana keperluan manusia seluruhnya dalam kehidupan dunia, sebelum berpijak ke alam akhirat, tidak boleh dihasilkan secara individu sahaja dan satu bangsa sahaja dan satu suku kaum sahaja.

Sempadannya ialah menegakkan Islam yang adil untuk semua. Sempadannya haram berlaku zalim terhadap sesiapa sahaja, sehingga zalim itu diharamkan terhadap kaum lain dan diharamkan juga membela kezaliman kaum dan bangsanya sendiri. Sabda Rasulullah s.a.w:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ
سنن أبي داود - (ج 13 / ص 325)

Maksudnya: (Bukan daripada kalangan kami orang yang menyeru kepada asabiyyah, bukan daripada kalangan kami orang yang berperang di atas tujuan asabiyyah dan bukan daripada kalangan kami orang yang mati di atas perjuangan asobiyyah).

Asabiyyah itu ialah fanatik terhadap kaum bangsa sendiri kerana kasih tanpa dasar yang benar dan adil sehingga menzalimi terhadap kaum dan bangsa lain dalam semua urusan cara hidup dan beragama.

Maka Islam telah berjaya menyelamatkan bangsa Arab dengan Islam, sehingga menghapuskan asabiyyah kabilah suku kaum sesama bangsa Arab yang berperang sejak ribuan tahun dan permusuhan bangsa Arab terhadap bangsa lain, sehingga bangsa Arab setelah menganut Islam berjaya menjadi kuasa besar dunia yang mengambil alih pengaruh dua kuasa besar dunia Parsi dan Rom di zamannya.

Bangsa Arab yang memimpin negara kuasa besar Islam akhirnya berjaya menerima masyarakat majmuk kalangan berbagai bangsa dan berbagai agama yang berlainan dengan Islam. Walaupun penganut Islam diwajibkan berdakwah mengajak manusia kepada Islam, tetapi diharamkan memaksa terhadap penganut agama lain, diharamkan zalim, serta diwajibkan berlaku adil terhadap semua manusia, binatang dan alam seluruhnya. Akhirnya Islam berjaya mengumpulkan daripada masyarakat majmuk itu, ilmu duniawi yang memberi manfaat dari segi kemanusiaan daripada berbagai bangsa dan penganut agama, sehingga berjaya melahirkan tamadun majmuk yang menyumbang kepada dunia seluruhnya sehingga hari ini.

Kejatuhan dua kuasa besar dunia berlaku di zaman khalifah kedua  Umar bin al- Khattab r.a. Apabila khalifah dijemput datang oleh paderi besar Bait al-Maqdis yang sangat gembira dengan kejatuhan kuasa besar Rom yang zalim terhadap mereka sejak beberapa abad. Khalifah disambut oleh para pemimpin kalangan para sahabat yang berbangsa Arab menyampaikan ucapannya yang masyhur, antara lain menegaskan:

“Kita adalah kaum bangsa yang diberi kemuliaan dengan Islam, sekiranya kita mencari yang lain daripada Islam untuk mencapai kemuliaan kononnya, nescaya kita ditimpa hukuman menjadi kaum bangsa yang hina“.

Kenyataan ini berasaskan firman Allah: Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka di antara kamu ada yang bakhil, dan sesiapa yang bakhil sesungguhnya dia hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri, dan Allahlah yang Maha Kaya sedangkan kamulah orang-orang yang sangat berhajat kepada pertolongan Allah; dan jika kamu berpaling daripada menegakkan agama Allah (Islam) nescaya dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini. (Surah Muhammad: 38)

Firman Allah dan ucapan ini menjadi kenyataan, apabila bangsa Arab yang memimpin umat Islam tidak lagi berpegang kepada Islam kerana leka dengan kuasa yang dijadikan peluang mengumpul harta kekayaan dan kemewahan. Maka Allah menukarkan kepimpinan kepada kalangan kaum bangsa bukan Arab, penganut Islam yang berpegang dengan Islam yang sempurna secara silih berganti di kalangan berbagai bangsa yang menganut Islam dan beramal dengannya dalam seluruh cara hidup. Apabila seluruh bangsa umat Islam bersemangat bangsa masing-masing dan berpuak, Islamnya menjadi sampingan amalan peribadi masing-masing, sehingga urusan politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain dipisahkan daripada Islam, maka umat Islam dan tanah air bumi Islam dijajah oleh kuasa asing yang menindas mereka dengan hina.

Walaupun penjajah terpaksa memberi kemerdekaan pada akhirnya, tetapi mereka berjaya mengekalkan kemerdekaan di atas semangat bangsa mengatasi petunjuk Islam. Maka kemerdekaannya tidak sampai kepada matlamat yang sebenar, kerana jasad dan tanah sahaja ditinggalkan oleh penjajah, sedangkan akal fikran dan kefahaman masih dijajah, termasuk bangsa Arab sendiri yang kaya-raya dengan hasil semula jadi yang luasnya laksana laut. Apabila semangat kebangsaan Arabnya mengatasi petunjuk Islam, menjadikan mereka terus lemah dan dipermainkan oleh kuasa-kuasa besar yang berebut dan berlumba-lumba mengambil kesempatan daripada bumi Arab, sehingga Arab boleh dilagakan sesama satu bangsa dan satu agama.

Inilah juga pendekatan semangat kebangsaan Melayu yang dibawa oleh UMNO sejak lebih lima puluh tahun mencapai kemerdekaan. Islam hanyalah satu religion atau agama, bukan al-Din yang dinyatakan oleh al-Quran. UMNO tidak mampu menempatkan dan melahirkan pemimpin yang perkasa dengan ilmu dan sakhsiah Islam, UMNO hanya berjaya melahirkan ramai pemimpin yang dicantas kerana kesalahan rasuah sesama sendiri, atau salah laku sesama sendiri dalam perebutan pertandingan kepimpinan negara apabila berjaya memimpin parti. Maka kepimpinan dianggap peluang untuk diri, keluarga dan rakan keliling, bukannya menunaikan amanah memperkasakan bangsa bersama Islam yang sempurna, dengan iman, ilmu dan akhlak dan mampu menguasai berbagai kaum dengan menegakkan Islam adil untuk semua, yang terkandung dalam ajaran Islam yang sempurna. Islam mengikut pendekatan UMNO, dilaksanakan secara terpilih bagi kepentingan duniawinya, bukannya memperhambakan diri menunaikan amanah daripada Allah yang menjadikan Islam adalah rahmat kepada seluruh alam.

Agama Islam yang diterima oleh penganut agama lain menjadi agama persekutuan, kerana penganutnya adalah bangsa Melayu yang diakui oleh semua kaum kerana majoritinya, tiba-tiba tidak berjaya memuliakan bangsa Melayu sendiri dengan iman, ilmu dan akhlak, selagi pemimpin UMNO diberi amanah memimpin negara di atas nama Melayunya sahaja  dengan pendekatan Islam terpilih mengikut para pemimpin UMNO. Walaupun orang Melayu diapikan semangat kebangsaannya yang bertopengkan Islam, sedangkan isi kandungan menipu umat, dengan media upahan dan media abdi kepadanya. Akhirnya bangsa Melayu bukan sahaja tidak boleh bertahan dengan UMNO,  bahkan jatuh terhumban bersamanya.

PAS berulang kali mengajak UMNO bermuzakarah, bukan berdebat menentukan menang dan kalah, tetapi UMNO sepanjang masa tidak bersedia. Debat bukannya kerana di musim pilihanraya dan ketika terdesak, bahkan diajak  sejak berpuluh tahun. Kalau UMNO ada Biro Agamanya, ilmuan agamanya, para mufti yang berada di bawah kerajaannya  yang mampu merojak sumber Islam dengan bahasa al-Quran, bukannya yang berwajah ulama dalam UMNO tetapi buta bahasa al-Quran atau terlalu lemah bahasa al-Qurannya yang ramai dipergunakan. PAS juga ada Majlis Syura Ulama dan ahli Dewan Ulama yang terlalu ramai.

Tibalah masanya, para pejuang Melayu menyedari dan memahami bahawa slogan yang benar bukannya, pertahankan Melayu dahulu, Islam di belakangnya. Percayalah bahawa Melayu tidak selamat dengan diri mereka sendiri tanpa petunjuk Islam, sebagaimana Arab bangsa Rasulullah s.a.w porak-peranda sekarang, kerana kebangsaan Arabnya mengatasi Islamnya, tetapi yang sebenarnya ialah tegakkan Islam dan selamatkan bangsa dengan Islam, tunjukkan Islam yang sempurna, maka Melayu selamat dan semua kaum, bangsa dan penganut berbagai agama diselamatkan.

Islam yang terkandung dalam al-Quran dan hadith itu tidak menolak kasih kepada bangsa masing-masing, tetapi melarang zalim terhadap bangsa selain bangsa kita. Islam tidak menghapuskan hak sesuatu bangsa secara tabii, seperti bahasa ibunda masing-masing dan budaya kaum masing-masing, tetapi melarang menjadi jahil dan keruntuhan akhlak dan Islam melarang paksaan dalam anutan agama dan Islam mewajibkan adil terhadap semua. Islam membetulkan cara hidup seluruhnya. Di sinilah perbezaan PAS dan UMNO.


Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS

No comments: