Wednesday, November 18, 2009

PAS Tanding di Kota Siputeh

Jumlah Pengundi: 20,281
Peratusan Kaum: Melayu : 91.69% Cina : 7.46% India : 0.08% Lain-lain : 0.78%

KUALA LUMPUR: Pakatan pembangkang bersetuju PAS akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Seputih, Kedah sekiranya berlaku pilihan raya kecil bagi kawasan berkenaan.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata persetujuan sebulat suara itu dicapai dalam satu mesyuarat yang dihadiri pemimpin-pemimpin kanan parti pembangkang di Parlimen, di sini, semalam.

"Kita membincangkan perkara itu dan PAS telah menyatakan sudah siap sedia untuk bertanding di kerusi berkenaan. Parti Pakatan Rakyat lain akan memberikan sokongan padu kepada PAS," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat berkenaan.

Kerusi Kota Siputeh disandang Datuk Abu Hassan Sarif daripada Barisan Nasional (BN) sebelum ia diisytiharkan kosong semalam oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berikutan kegagalan beliau menghadiri dua persidangan dewan itu secara berturut-turut tanpa kebenaran speaker.

Bagaimanapun hari ini Abu Hassan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, melalui peguam yang mewakilinya Datuk Mohd Hafarizam Harun. BERNAMA

No comments: