Friday, July 22, 2011

Bekas Menteri: Najib perlu pastikan pilihanraya Bersih

KUALA LUMPUR, 22 Julai — Seorang bekas menteri kerajaan pusat, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mengingatkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak agar melaksanakan sistem pilihan raya yang telus.

Abdul Kadir yang juga Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) berkata sistem pilihan raya yang telus adalah asas kepada sesebuah negara yang mempunyai undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Negara kita selama ini telah memuncak begitu lama, negara yang cukup berjaya sebab rakyat berpegang teguh pada semangat kemerdekaan tetapi malangnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini (prestasi) kita sudah mula menurun dan secara terang-terangan melakukan perkara-perkara yang pelik,” kata beliau.

“Kadang-kadang kita begitu yakin dan sombong, boleh buat benda salah di tempat yang terang, kami rasakan sudah tiba masanya kita berubah dan kembali ke pangkal jalan,” kata Abdul Kadir sambil menambah, “merdeka bermakna kuasa diserahkan kepada rakyat.”

“Negara ini kepunyaan rakyat... negara ini hak rakyat dan ini asas yang kita perlu ingat, negara ini bukan bapa saya yang punya, bukan Umno yang punya, bukan PAS yang punya, ini rakyat yang punya,” kata beliau ketika berucap pada majlis pelancaran Amanah di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra di sini.

Bekas wakil rakyat dari Kedah ini pernah mengetuai Kementerian Pelancongan dan Kementerian Penerangan.

Tegas Abdul Kadir, rakyat tidak akan bangkit menentang kerajaan sekiranya pilihan raya yang dijalankan dibuat secara telus dan adil.

Selain itu jelas beliau, tuntutan yang dibuat Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) ada asasnya.

“Bila sudah merdeka rakyat perlu pilih kerajaan, kita adakan pilihan raya sebab rakyat ramai, rakyat buat keputusan siapa yang mereka mahu (jadi kerajaan),” katanya.

Kata beliau, “sejak akhir-akhir ini kita dengar macam-macam tentang pilihan raya bersih dan adil itu adalah asas sistem pilihan raya.”

“Kalau tidak telus macam mana rakyat nak pilih... kerajaan kata pilihan raya (sekarang) sudah bebas, itu pandangan dia tapi pandangan lain (termasuk) Bersih 2.0 kata pilihan raya tidak telus,” katanya.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan agar wakil pembangkang diletakkan dalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memastikan ketelusan sistem yang ada sekarang.

“Ada cadangan minta wakil pembangkang duduk dalam SPR, saya setuju... kalau kerajaan kata pilihan raya bersih buatlah, apa nak takut, selesai masalah.

“Kerajaan tahu pilihan raya itu bersih atau tidak, rakyat pun tahu, kita pun tahu... biarlah bersih betul supaya rakyat dapat pilih kerajaan yang mereka kehendaki,” katanya.

Pada 9 Julai lalu, ribuan rakyat membanjiri ibu negara untuk menuntut pilihan raya bebas dan adil yang turut disertai Pakatan Rakyat.

Amanah diketuai Tengku Razaleigh Hamzah.

Ia juga membariskan beberapa tokoh terkenal tanah air termasuk Datuk Seri Daniel Tajem, Datuk Seri Ong Tee Keat, Datuk S. Subramaniam, Datuk Seri Wilfred Bumburing dan Datuk Seri Bujang Ulis selaku timbalan presiden.

No comments: