Monday, October 17, 2011

Martabatkan Bahasa Melayu Di Semua Sektor

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyambut baik langkah kerajaan mewajibkan penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan rasmi dan pentadbiran kerajaan.

“Langkah ini positif demi untuk memartabatkan bahasa kebangsaan meskipun agak terlambat untuk dilaksanakan,” kata ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor.

Beliau berkata, bagi DPPM, seharusnya tindakan mewajibkan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan telah dilaksanakan sejak 10 hingga 15 tahun dahulu.

Sepatutnya, kata beliau kerajaan tidak perlu mengambil masa terlalu lama sehingga ke hari ini memikirkan langkah ini dan tidak perlu berkompromi dalam meletakkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara.

Menurutnya, negara-negara lain amat menyanjung tinggi bahasa kebangsaan mereka sehingga telah lama dijadikan bahasa utama perantara di negara masing-masing.

Tambahnya, negara-negara hebat dan maju seperti Jepun, China, Korea, Perancis dan lain-lainnya tidak pernah ragu dalam menjadikan bahasa kebangsaan mereka sebagai bahasa utama di negara mereka.

Beliau berkata, ternyata menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara dalam semua urusan mampu menaikkan semangat patriotik rakyat di samping mengangkat martabat bahasa kebangsaan ke pentas dunia.

Negara-negara itu, jelasnya membuktikan bahasa kebangsaan masing-masing sebagai antara bahasa terpenting di dunia dan masyarakat dunia perlu mempelajarinya.

Katanya, selain langkah di sektor kerajaan, DPPM meminta pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi dilaksanakan juga di sektor swasta.

Bagi DPPM, ujarnya kerajaan berhak mewajibkan penggunaan Bahasa Melayu di sektor swasta memandangkan masih banyak sektor swasta yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantara.

Ia, katanya perlu diamalkan oleh semua bangsa dan kaum agar bahasa Melayu mampu dimartabatkan secara menyeluruh.

“Apa yang berlaku, masih banyak sektor swasta mewajibkan penggunaan bahasa Inggeris termasuk dalam surat menyurat, mesyuarat, seminar dan aktiviti, serta dalam temuduga,” ujarnya.

Ujarnya lagi, pekerja yang bakal diambil bekerja di syarikat mereka diwajibkan mahir dalam bahasa Inggeris sebagai syarat utama.

Ini, katanya menyebabkan ramai pekerja khususnya mereka yang berbangsa Melayu gagal menepatkan diri di sektor swasta ekoran gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Akhirnya, tambah beliau DPPM benar-benar berharap pelaksanaan bahasa Melayu di kekalkan bahkan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Menurutnya lagi, jika benar rakyat cintakan negara sendiri, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam setiap urusan pentadbiran perlu diyakini.

Selain itu, ujarnya sektor bukan kerajaan juga perlu menyambut positif langkah itu dan mengambil langkah serupa dalam setiap urusan mereka.

“DPPM yakin jika ini berterusan, bahasa Melayu bakal menjadi bahasa penting di rantau Asia malah mungkin antara bahasa terpenting dunia kelak,” katanya.

No comments: