Friday, March 14, 2008

Di sini kita akan bermula






Salam...

Setelah sekian lama akhirnya, suara dan penampilan pemimpin PAS telah berkumandang dan didengari semua terutamanya di DUN Dusun Tua ini. Buat julung-julung kalinya, malam tadi Khamis 13 Mac 2008 selepas Solat Maghrib telah diadakan majlis bacaan Yasin ahli jemaah Masjid Taman Seri Nanding bersama YB Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat. Alhamdulillah majlis ini juga dipimpin bersama oleh Tuan Imam Masjid Tuan Haji Ibrahim dan al-Fadhil Ustaz Abdullah Arob yang juga merupakan Bendahari MTD Dusun Tua.

Di kesempatan ini juga menyaksikan Pengarah MTD Dusun Tua Sdr. Mohd Jan Sulong memberikan sedikit ucapannya terutama hal ehwal pembangunan insan dan dakwah yang akan diperkasakan demi melihat seluruh insan dan masyarakat di DUN Dusun Tua ini akan lebih makmur dan baik. Antara penjelasan beliau juga berkenaan dengan pengurusan dan pengisian masjid-masjid dan semua surau akan diperbaiki dan dipertingkatkan agar semua pihak terutamanya kaum Muslimin dapat mengambil manfaatnya yang mana sebelum ini telah digerhanakan mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab.

Seterusnya Mantan Calon PAS N-23 PRU-12 yang juga telah diangkat menjadi YB (Yang Berkhidmat) bagi rakyat DUN Dusun Tua memberikan sepatah dua katanya dengan memberikan harapan kepada seluruh masyarakat DUN ini untuk beliau terus komited menjalankan tugas membantu dan menolong masyarakat terutamanya setiap aduan dan kebajikan rakyat.

Semoga selepas terbentuknya kerajaan sah dari Barisan Alternatif di Negeri Selangor ini. Cahaya pencerahan akan terus menyinari kegemilangan ilmu Islam, Syariat islam dan seterusnya melahir serta membentuk masyarakat Islam yang lebih bertaqwa kepada Allah dan memanfaatkan amanah serta tanggungjawab Allah. Allahu'alam

No comments: