Thursday, March 13, 2008

Cabaran Besar Pakatan BA di Perak

Perkenan Sultan di atas perlantikkan Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang baru adalah satu cabaran yang paling besar bagi DAP dan pakatan BA di perak. Dengan kemenangan DAP (18 kerusi), PKR (7) dan PAS (6), DAP dilihat secara logik mempunyai asas yang kuat untuk menuntut jawatan MB yang baru. Tetapi dari sudut undang-undang tubuh negeri, ia hanya mengizinkan MB dari kalangan orang Melayu Islam sahaja. Oleh kerana DAP tiada calon Melayu maka DAP hilang kelayakkan dan PKR dan PAS mendapat peluang tersebut. Dalam konteks negeri Perak, kemenangan BN menguasai 28 kerusi juga perlu diambil kira oleh DAP, kematangan politik adalah amat-amat diperlukan. Kegagalan pakatan BA untuk menyelesaikan kemelut ini bakal mengundang padah yang lebih besar terutama sekali pada PRU13 akan datang. Kita tentu masih ingat kisah kemenangan PAS di Terengganu.

Sekalung tahniah kepada kepimpinan DAP di peringkat negeri Perak di atas keterbukaan mereka dengan persepakatan yang dibentuk semasa mencalonkan wakil masing-masing. Mereka juga telah bersetuju untuk menerima sesiapa sahaja yang diputuskan oleh kebawah duli tuanku. Inilah yang kami harapkan sebagai pendokong dan penyokong Barisan Rakyat. Malangnya kenyataan Lim Kit Siang telah menghancurkan harapan yang tinggi menggunung itu. Apakah yang beliau fikirkan. Adakah beliau berjuang untuk jawatan MB atau berjuang untuk rakyat? Adakah kerusi MB itu lebih utama dari kuasa memerintah Perak? Dimana logik pemikirannya? Adakah beliau tidak sedar yang beliau telah cuba menghina institusi Raja-Raja dengan memulaukan istiadat angkat sumpah petang ini? Menghina institusi raja adalah antara perkara yang amat sensitif bagi orang Melayu. Sedangkan orang Melayu telah baru sahaja mula berjinak untuk memangkah DAP di PRU12 yang telah lalu. Adakah DAP tidak sedar?

Mungkin beliau cuba memperlihatkan ketegasannya; tetapi biarlah bertempat. Beliau perlu ingat sekiranya DAP dan PKR cuba menafikan peranan PAS dengan meletakkan PAS sebaris dengan BN (pembangkang) maka secara tidak langsung gabungan BN dan PAS mempunyai lebih banyak kerusi berbanding dengan DAP dan PKR. Dimana logiknya sifir Lim Kit Siang ini?

Saya berharap kepimpinan tertinggi parti PAS, PKR dan DAP dapat menyelesaikan kecelaruan ini segera, sebelum majlis angkat sumpah berlangsung petang ini. Kegagalan perkara ini ditangani dengan bijak akan mengakibatkan peluang BA menguasai Parlimen dan negara pada PRU13 akan musnah.


MENCARI MANDAT BUKAN BEREBUT KUASA.

No comments: