Tuesday, February 17, 2009

Elizabeth letak jawatan ADUN, Exco MB Selangor dijadual buat kenyataan rasmi waktu terdekat

PETALING JAYA: Selepas dua hari didedahkan penyebaran gambar dan video separuh bogel, Elizabeth Wong hari ini mengumumkan keputusannya untuk meletakkan jawatan Exco Kerajaan Negeri dan ADUN Bukit Lanjan.

Keputusan itu dijangka membuka laluan kepada pilihan raya kecil ketiga tahun ini selepas Bukit Gantang di Perak dan Bukit Selambau di Kedah.

Wong mengumumkan pendiriannya itu pada sidang media pukul 11.40 pagi tadi di Ibu Pejabat PKR di sini.

"Saya menerima sokongan padu daripada keluarga, pemilih kawasan saya, rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, sahabat dan masyarakat umum.

"Bagaimanapun, demi kepentingan parti, saya telah memutuskan untuk menawarkan peletakan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor dan juga ADUN Bukit Lanjan," katanya dengan nada sebak manakala penyokong-penyokongnya pula mendesak beliau menarik balik keputusannya.

"Saya akan berbincang dengan Menteri Besar (Tan Sri Khalid Ibrahim) untuk mengaturkan penyerahaan tanggungjawab saya dengan baik.

"Saya akan terus berkhidmat untuk rakyat dan berjuang untuk keadilan di Malaysia," kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor.

Khalid yang juga Pengerusi PKR Selangor dijadual membuat kenyataan rasmi mengenainya dalam beberapa jam lagi.

Wong, berusia 37 tahun dan masih bujang, yang memasuki dewan utama Ibu Pejabat PKR dengan ceria kelihatan sebak ketika membacakan kenyataannya.

Beberapa penyokong beliau membawa sepanduk dan poster menyatakan sokongan moral kepada beliau sambil berulang kali menggesa Wong tidak meletakkan jawatan.

Naib Presiden PKR, R. Sivarasa pula berkata, pihaknya menerima keputusan Wong dengan berat hati tetapi bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil jika diadakan.

"Kami bersedia menghadapi pilihan raya kecil di Perak, di Kedah dan juga di sini di Selangor," kata beliau yang turut hadir pada sedia media itu.

Bagaimanapun Wong yang hanya membacakaan kenyataan satu halaman tidak mengambil sebarang soalan daripada wartawan.

No comments: