Thursday, February 19, 2009

Polis Belanja RM15 Juta Untuk PRK K. Terengganu

Sesuatu yang tidak munasabah dan membazir. Dari jumlah itu kos yang terbesar ialah sewa kemah iaitu sebanyak RM6 juta dan diikuti oleh penginapan iaitu sebanyak RM4.5 juta. Perbelanjaan ini adalah untuk sebanyak 3,376 polis sebagaimana yang dinyatakan oleh Datuk Chor Chee Heung. Ini bermakna purata seorang polis kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan sebanyak RM4,443.13 untuk aktiviti selama 3 minggu. Sesuatu yang terlalu tinggi dan tidak munasabah. Siapakah gerangan yang mendapat kontrak menyediakan khemah polis tu agaknya?

___________________

PDRM belanja RM15j pada pilihan raya Kuala Terengganu

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) membelanjakan RM15 juta pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari lalu untuk menjamin keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung, berkata perbelanjaan itu termasuk kos perjalanan dan sara hidup sebanyak RM2.7 juta, perhubungan dan utiliti (RM50,000), sewaan kanopi (RM6 juta), pembekalan makanan kering dan minuman (RM65,000), pembekalan bahan api dan alat ganti (RM698,000), pembekalan bahan mentah dan lain-lain (RM310,000), penyelenggaraan dan pembaikan kecil (RM830,000) dan pembekalan makanan dan penginapan (RM4.5 juta).

“Penugasan membabitkan seramai 3,376 pegawai dan anggota daripada Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Simpanan Persekutuan, Trafik, Unit Udara Polis dan Tugas Am,” katanya ketika menjawab soalan Amran Ab Ghani (PKR-Tanah Merah) yang ingin mengetahui perbelanjaan keseluruhan PDRM dalam pilihan raya kecil berkenaan.

Chor berkata, polis juga menggunakan kelengkapan termasuk dua helikopter, kereta perisai (satu), kereta peronda (68), motosikal berkuasa tinggi (238) dan motosikal ringan (58) , 3,376 unit senjata api.

Katanya, hasil kawalan keselamatan yang dijalankan polis dan kerjasama orang awam, tiada sebarang rusuhan atau kejadian yang tidak diingini berlaku sepanjang pilihan raya kecil itu.

Menjawab soalan tambahan Amran, Chor berkata, daripada 3,376 anggota polis, hanya 433 anggota daripada Cawangan Khas.

No comments: