Friday, September 30, 2011

Berita Yang Belum Pernah Kita Lihat

Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat menolak anasir serta puak-puak dalam dan luar negara yang cuba memecahbelahkan perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum negara ini.

Timbalan Perdana Menteri juga turut meminta rakyat menolak mereka yang cuba memainkan isu-isu perkauman bagi kepentingan politik sesuatu pihak 'seperti UmNo, MCA dan pertubuhan perkauman Perkasa'.

Bercakap kepada lebih 10,000 yang menghadiri majlis jamuan rakyat anjuran Gabungan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Daerah Johor Baharu di sini hari Khamis, beliau meminta rakyat mengukuhkan perpaduan yang sedia terjalin di antara mereka.

"Perpaduan di antara rakyat pelbagai kaum di negara ini merupakan ramuan terpenting dalam memastikan usaha negara untuk menjadi negara maju di dalam tempoh sedekad ini tercapai," kata beliau.

PAS: ‘Yang halang laksana hudud Umno, bukan DAP’

KUALA LUMPUR, 30 Sept — Susulan mesyuarat Pakatan Rakyat kelmarin, PAS menegaskan yang menghalang pelaksanaan hukum hudud adalah Umno bukannya DAP — rakan komponen dalam perikatan mereka berusia tiga tahun.

Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS mengakui DAP mempunyai pandangan berbeza dalam soal pelaksanaan hudud dan pendirian mereka dalam tidak menyokong sistem perundangan syarak.

“Akan tetapi, ini bukanlah perkara pelik kerana mereka bukan beragama Islam dan tiada tuntutan syarak ke atas mereka,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

“DAP berpendapat ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, di mana kes-kes jenayah mesti berada di bawah bidang kuasa mahkamah sivil, bukan di mahkamah Syariah.

“Mereka juga berpendapat enakmen ini memerlukan pindaan Perlembagaan bagi menguatkuasakannya,” katanya.

Oleh itu kata Tuan Ibrahim, jelas yang menghalang ialah Perlembagaan Persekutuan yang dimomok Umno selama 54 tahun dan bukannya DAP.

“DAP tidak menyokong kerana ia melanggar Perlembagaan Persekutuan,” kata Tuan Ibrahim.

Tuan Ibrahim menambah, PAS memperakui perlunya bidang kuasa mahkamah syariah diangkat bagi menepati tuntutan syarak dalam pelaksanaan sistem perundangan ini.

“Namun, ruang dan bidang kuasa kerajaan negeri yang telah meluluskan enakmen ini juga perlu diperakui dan diiktiraf. Situasi ini amat berbeza dengan Umno yang beragama Islam dan mempunyai kewajipan syarak dalam melaksanakannya,” katanya lagi.

Pesuruhjaya PAS Pahang ini juga berkata, Umno yang mengaku dirinya Islam dan telah diberi kuasa pemerintahan selama lebih 54 tahun sepatutnya mesti bersedia memikul tanggungjawab ini untuk menyediakan negara ke arah kesediaan untuk melaksanakan hukum Allah.

“Ini bukan. Umno masih mengatakan negara masih belum mampu melaksanakannya. Ini jelas mencerminkan kegagalan Umno dalam memastikan pelaksanaan syariat Allah di negara ini,” tambah beliau.

Kelmarin, Pakatan Rakyat mengambil pendirian tegas hukum hudud yang muncul kembali sebagai isu ‘panas’ minggu lalu tidak akan menjadi sebahagian daripada dasar bersama perikatan itu sehingga kesemua parti komponen menzahirkan persetujuan dan konsensus.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu bahawa hukum hudud bukan sebahagian daripada dasar Pakatan Rakyat dan bantahan DAP perlu dihormati.

“Ya, ya. Sangat jelas ia perlu bersama,” kata Ketua Umum Pakatan Rakyat ini menjawab soalan sama ada pelaksanaan hukum hudud memerlukan persetujuan sebulat suara kesemua tiga parti dalam perikatan itu.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan, Anwar, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata mesyuarat Pakatan Rakyat malam tadi memperakui dan mempertahankan dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui sebelum ini sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, dasar bersama dan Buku Jingga.

Justeru kata Tuan Ibrahim, keputusan yang dibuat Pakatan Rakyat kelmarin ternyata jauh lebih baik daripada pendirian Umno yang terus menolak hukum hudud sebagaimana kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Minggu lalu Najib menegaskan hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini manakala timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno tidak menolak hudud tetapi kini bukan masanya untuk melaksanakan pendekatan itu.

“Sebagai ‘damage control’ ekoran kenyataan presiden mereka, ramai pemimpin Umno bergesa-gesa berkata mereka secara dasarnya menyokong hudud tapi menyalahkan keadaan tidak sesuai untuk melaksanakan hukum Allah ini.

“Lima puluh empat tahun memerintah tapi dalam keadaan kononnya menyokong hudud, Umno masih menyalahkan keadaan tidak sesuai untuk melaksanakan hukum hudud. Jadi jelaslah selama ini, merekalah penghalang sebenar daripada pelaksanaan hukum Allah,” kata beliau lagi.

Tuan Ibrahim juga memberitahu, pendirian orang bukan Islam “tidak menyokong” dan orang Islam yang “menghalang” amat beza darjatnya dalam isu pelaksanaan hukum hudud ini.

Beliau juga berkata, kini sikap menghalang Umno itu bertambah nyata apabila berhadapan tekanan MCA dan Gerakan yang terang terangan mengugut akan keluar dari gabungan BN seandainya Umno menerima hukum hudud.

MCA dan Gerakan hanya ugut nak keluar BN jika Umno nak laksana hudud kononnya ingin menjaga hak orang bukan Melayu, kata beliau sambil menambah, “tapi tidak pula kedengaran MCA dan Gerakan ugut nak keluar BN semasa Umno dan Perkasa sering menindas hak dan menggertak kaum bukan Melayu.”

“Bukankah itu menjadikan ugutan tersebut amat hiprokrit?” katanya lagi.

“Namun, hipokrit MCA dan Gerakan tidak setanding Umno. Apabila tercetus isu ini, Timbalan Presiden Umno terus menyatakan Umno turut menyokong hudud. Selepas ugutan MCA dan Gerakan, Najib terus mengisytiharkan tidak akan melaksanakan hukum Allah ini di Malaysia,” katanya lagi.

Oleh itu tambah Tuan Ibrahim, siap hipokrit Umno menyebabkan rakyat beragama Islam kini menuntut satu perisytiharan bila parti teras BN itu akan bersedia melaksanakan sistem perundangan syarak ini.

“Perisytiharan Umno ini juga sudah tentunya menyebabkan masyarakat Islam menuntut para ulamak dan ilmuan agama khususnya, untuk berfikir kewajaran mereka untuk terus berada dan menyokong Umno,” kata beliau.

Thursday, September 29, 2011

Hudud dan PAS

Maka melalaklah selepas ini media UmNo disebabkan ketiadaan persepakatan perlaksanaan Hudud oleh Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat. Namun ada beberapa yang masyarakat mungkin tidak faham:
  1. Hudud hanya boleh dilaksanakan apabila seluruh orang Melayu dan Islam menyokong perlaksanaannya. Suara majoriti mengatasi minoriti.
  2. Orang bukan Islam hanya menuntut setakat mana peruntukkan yang diputuskan oleh Perlembagaan negara.
  3. Hudud tidak dapat dilaksanakan kerana UmNo memilih untuk menghalang perlaksanaannya.
  4. DAP amat menjunjung tinggi Perlembagaan dan undang-undang negara. Oleh kerana Perlembagaan negara tidak membenarkan perlaksanaan hudud maka DAP akan mempertahankan perlembagaan tersebut. Sebab itulah Khairy (KJ) meminta supaya pindaan perlembagaan dibuat bagi membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan.
  5. Kerusi PAS di DUN dan Parlimen amat terhad, justru menghadkan suara dan permintaan dari diambil perhatian lebih serius.
  6. Sekiranya orang Melayu meninggalkan UmNo dan menyokong PAS maka suara PAS akan lebih kuat bagi mengangkat hasrat PAS untuk melaksanakan perintah Islam.
Untuk melaksanakan hudud... seluruh orang Melayu dan Islam perlu menyokong parti yang menyokong hudud.

Hanya logo halal JAKIM diiktiraf

Berkuat kuasa 1 Januari 2012 hanya logo halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sahaja yang boleh diguna pakai dan diiktiraf di seluruh negara.

Semua sijil halal sedia ada terbatal pada malam 31 Disember dan semua pihak perlu mengemukakan permohonan baru kepada pengeluar tunggal iaitu Jakim.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu sejajar dengan penguatkuasaan Akta Perihal Dagangan 2011 dan Persijilan Halal yang telah diluluskan oleh Parlimen pada 11 Julai lalu bagi menggantikan Akta Perihal Dagangan 1972.

"Untuk logo halal ini, pihak kita akan menguatkuasakannya pada 1 Januari 2012, bermakna selepas itu tidak ada lagi logo halal lain selain Jakim boleh digunakan, terutamanya di premis makanan dan restoran.

"Kalau ada yang gunakan logo lain, kita boleh ambil tindakan iaitu denda RM250,000 dan tiga tahun penjara bagi syarikat atau kedua-duanya sekali, manakala bagi individu denda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali,'' katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jakim, Othman Mustapha dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd. Yusof.

Menurutnya lagi, 53 logo sijil halal dari luar negara juga akan ditentukan statusnya oleh Jakim.

Bayaran permohonan untuk memperbaharui sijil logo halal ialah RM100 untuk kedai makan, RM400 untuk industri kecil dan sederhana manakala RM700 buat syarikat multinasional.

Hudud: Pakatan akui enakmen syariah Kelantan, Terengganu

Berikut adalah kenyataan bersama Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang diperakui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut.
  • Mesyuarat Pakatan Rakyat malam ini memperakui dan mempertahankan dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui sebelum ini sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Dasar Bersama dan Buku Jingga.
  • Pakatan Rakyat terus memperteguhkan iltizam politik bagi mempertingkatkan daya-saing ekonomi, pendapatan rakyat, mutu pendidikan, kesihatan dan menangani kos kehidupan yang semakin menekan.
  • Mesyuarat juga memperakui dan menghormati perbedaan ideologi setiap parti dalam Pakatan Rakyat sebagai sebuah permuafakatan demokratik, termasuk  pendirian PAS berkenaan hukum syariah.
  • Mesyuarat juga memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yakni sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat. Keadilan dan PAS menghormati perbezaan pendirian oleh DAP dalam perkara ini.
  • Mesyuarat Pakatan Rakyat juga mempertegaskan bahawa kami tidak akan terheret dengan mainan politik terdesak Umno-Barisan Nasional untuk memecah belahkan kesatuan Pakatan Rakyat . Kita percaya penuh di atas kematangan dan kebijaksanaan rakyat untuk menilai suasana ini.
  • Mesyuarat sekali lagi mempertegaskan bahawa muafakat dan objektif utama politik parti-parti komponen PR dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 ini adalah untuk membina kembali asas-asas kenegaraan yang telah dirosakkan oleh Umno-BN, dengan berpandukan prinsip Keadilan Sejagat (Universal Justice), Pentadbiran yang Baik (Good Governance), Kebertanggungjawaban (Accountability), Ketelusan (Transparency), Kompetensi (Competency) bagi mencapai  Kemaslahatan Umum (Public Good) untuk semua rakyat.

Wednesday, September 28, 2011

Jamuan Raya PakatN Rakyat di Bt 14

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Empat cedera letupan pusat beli-belah Empire Gallery


Keadaan di luar pusat membeli-belah Empire Gallery, Subang Jaya pagi tadi.
SUBANG JAYA, 28 Sept — Empat orang cedera dalam letupan di pusat membeli-belah Empire Gallery di sini awal pagi ini. Menurut saksi persekitaran di lokasi kelam-kabut dengan anggota polis, ambulans dan bomba kelihatan di kawasan kejadian.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menghantar mesej menerusi Twitter pagi ini dan berharap penduduk kawasan berhampiran selamat. Adun Subang Jaya Hannah Yeoh juga berada di kawasan kejadian, katanya. Pusat membeli-belah itu dibuka tahun lalu. MI

Tuesday, September 27, 2011

Berita Ajaib

Adalah sesuatu yang pelik lagi ajaib apabila ada orang yang pergi ke SPRM untuk buat aksi stunt ataupun menjadikan SPRM sebagai tempat untuk membunuh diri! Lagi pelik apabila ada orang yang pergi ke SPRM secara sukarela kemudian tidak ditahan ataupun didakwa tiba-tiba melarikan diri melalui tingkap.

Adakah munasabah seorang yang pergi ke SPRM kemudiannya tak jumpa jalan keluar. Sedangkan dia pergi kesana tanpa paksaan, tanpa dakwaan, tanpa waran tanpa gari. Walau apa pun pandangan dan keputusan yang dikeluarkan namun hakikatnya cerita ini amat ajaib untuk dipercayai.

Monday, September 26, 2011

Breakfirst Rayo Bersama Sany Hamzan

 
 
 
 
 
 
 
 
 

Aura Ustaz Azhar Idrus

 Alhamdulillah di zaman ramai orang terkejar-kejar mencari hiburan yang melalaikan, masih ada insan yang dikurniakan aura yang luar biasa dan mampu menarik masyarakat hadir ke kuliah-kuliah agama. Ustaz Azhar Idrus bukan mana baru dalam dakwah. Keistimewaan beliau yang mampu menarik minat ribuan pencinta ilmu amat dikagumi.

Seawal jam 6 petang orang sudah mula memenuhi ruang solat Ar-Ridhuan Hulu Kelang. Apabila masuk waktu Maghrib sudah tidak ada ruang didalam dewan solat.... yang lambat terpaksalah solat diluar dan di dalam khemah yang disediakan. Dengan kemudahan projektor semua dapat melihat kuliah yang diadakan dengan jelas didalam dan diluar masjid.

Tahniah semoga Allah terus memberi kekuatan kepada beliau untuk berdakwah.

 
 
 

Friday, September 23, 2011

BN@UmNo Salah Salahguna Kuasa

PM: BN buat perubahan, Pakatan hanya tabur janji

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yakin hanya BN yang mampu menjalankan perubahan, manakala Pakatan Rakyat hanya boleh menabur janji untuk berbuat demikian.


Bila Najib buat kenyataan diatas apa yang boleh dikatakan?
  • Ada tak rasa nak termuntah bila presiden UmNo kata macam tu?
  • Apa dia ingat kita ni bodoh sangat ke?
  • BN@UmNo buat kerja pakai duit negara dan pembayar cukai atau pakai duit UmNo?
  • Apa kata bila BN jatuh dan Pakatan memerintah.... boleh tak dia guna kenyataan yang sama?

Daftarlah Dan Undilah Di Tempat Anda Tinggal..... Ambil Hak Anda Jangan Ambil Hak Orang Lain!

Selangor Maju, Berhemah dan Berkebajikan

SHAH ALAM, 23 Sept: Dalam tempoh enam bulan tahun ini, Kerajaan Negeri Selangor berupaya menambah simpanan tunai sebanyak RM200 juta, menjadikannya RM1,100 juta.

“Jumlah ini merupakan rekod kewangan paling baik negeri bertuah ini dalam tempoh 28 tahun,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau menyatakan demikian pada Majlis Santapan Malam anjuran Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan di Pusat Konvensyen Shah Alam, malam tadi.

Selain Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, turut berangkat ialah Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurutnya, pada akhir tahun lepas, simpanan tunai Kerajaan Negeri Selangor berjumlah sebanyak RM918 juta.

Secara keseluruhan, katanya, kejayaan Selangor memperkasa pembangunan dan melestarikan kemajuannya adalah dengan restu, nasihat dan sokongan penuh Tuanku Sultan terhadap kerajaan negeri sekarang yang mengamalkan tadbir urus yang telus, bertanggungjawab, berhemah dan berhemat.

Katanya, Negeri Selangor juga telah menunjukkan peningkatan yang begitu ketara di dalam jumlah pelaburan dalam negeri.

Jelasnya, semenjak 2008 hingga Jun 2011, Selangor telah berjaya menarik pelaburan berjumlah lebih RM35,000 juta.

Ini bermakna, ujarnya Kerajaan Negeri Selangor sekarang bukan sahaja berjaya meningkatkan hasil negeri tetapi juga berjaya melaksanakan pengurusan kewangan dengan cekap dan berkesan.

“Walhal pada awalnya adalah menjadi kekhuatiran yang teramat sangat dalam diri patik selaku peneraju Kerajaan Negeri yang baharu untuk memikul amanah majoriti rakyat majmuk di negeri Selangor yang inginkan pembaharuan dalam erti kata hasil mahsul negeri dinikmati secara adil dan saksama dalam kalangan rakyat majmuk di negeri ini,” ujarnya.

Beliau menambah, demi kemaslahatan negeri dan rakyat negeri ini seluruhnya pula, Kerajaan Selangor sekarang melaksanakan dasar “Merakyatkan Ekonomi Selangor” yang mengandungi pelbagai program kebajikan bagi membantu rakyat majmuk pelbagai peringkat agar dapat sama-sama menikmati hasil pembangunan dan kemajuan negeri ini.

Menurutnya, melalui dasar itu, beliauk dan barisan kepemimpinan di peringkat negeri, daerah, mukim dan kampung bersependapat bahawa hasil bumi negeri Selangor ini adalah milik rakyat Sultan Selangor.

Oleh itu, katanya limpahan daripada hasil pembangunan dan kemajuan negeri ini sewajarnya dikembalikan kepada seluruh rakyat negeri Selangor supaya sama-sama menikmatinya.

Katanya, dengan penduduk negeri berjumlah 5.3 juta orang yang terdiri daripada Melayu sekitar 49 peratus; Cina sekitar 29 peratus, India sekitar 16 peratus, dan keturunan lain sekitar 6 peratus, mereka tanpa mengira kelainan bahasa, agama, latar belakang pendidikan dan kecondongan politik, adalah layak menerima bantuan menurut program dan skim yang ditawarkan oleh kerajaan negeri sejak Jun 2008, sejajar dengan misi menjadikan Selangor sebuah negeri idaman, maju dan berkebajikan.

Beliau berkata, sejak dasar itu diperkenalkan 100 hari selepas menerajui pentadbiran Negeri Selangor hinggalah Jun 2011; sejumlah RM500 juta telah disalurkan terus kepada rakyat Selangor.

Selain itu, katanya Skim Air Percuma 20 meter padu berjumlah melebihi RM387 juta, Skim Tabung Warisan (RM1.8 juta), Hadiah Anak Masuk Universiti (RM19 juta), Skim Usia Emas dan OKU (RM49 juta) dan Skim Mikro Kredit Luar Bandar dan Kemiskinan Bandar yang kini melebihi RM2 juta dan berbagai-bagai bantuan kemasyarakatan yang akan diberikan secara berterusan.
Dalam bidang pelaburan pula, beliau bersyukur kerana negeri Selangor terus didatangi oleh para pelabur dari dalam dan dari luar negara.

Katanya, sejak Januari hingga 30 Jun tahun 2011 ini sahaja jumlah pelaburan negeri Selangor bernilai sebanyak RM5,200 juta iaitu 18 peratus dari keseluruhan pelaburan di dalam negara.

Beliau menambah, pelaburan tersebut terdiri dari pelaburan domestik sejumlah RM2,100 juta dan pelaburan asing berjumlah RM3,100 juta.

“Ini bermakna Selangor berada di tempat teratas dalam keseluruhan pelaburan di dalam negara,” katanya.

Menurutnya, dari jumlah RM5,200 juta pelaburan tersebut terdapat sebanyak 135 projek yang terdiri dari 89 projek baharu dan selebihnya 46 projek sedia ada.

“Hal ini menjadikan Selangor jauh meninggalkan negeri-negeri lain yang kebanyakannya mempunyai tidak lebih dari 50 projek,” katanya lagi.

Jelasnya, melalui pelaburan RM5,200 juta di atas Selangor telah berjaya membuka ruang pekerjaan sebanyak 10,000 pekerjaan yang kebanyakannya di dalam bidang elektronik dan elektrikal produk.

“Selangor berbangga menjadi penyumbang terbesar cukai dalam negara iaitu sebanyak 21 peratus pada 2010 dan kita menjangkakan jumlah yang sama dapat kita unjurkan pada tahun ini jika tidak jumlah yang lebih besar,” katanya.

Rakyat Selangor juga, kata beliau menikmati hasil dari pengurusan hasil pasir yang kini dijalankan secara tersusun kerajaan negeri melalui anak syarikat kerajaan negeri; Kumpulan Semesta Sdn Bhd di mana peningkatan hasil pasir amat ketara sekali.

Katanya, pada tahun 2007, kutipan royalti hasil pasir hanya RM4 juta, 2009 sejumlah RM 5 juta dan pada 2010 melonjak kepada RM11 juta.

Menurutnya lagi, manakala pada tahun ini setakat bulan Jun telah mencapai kepada RM12 juta.

“Sejak ditubuhkan hingga setakat Jun 2011, Kumpulan Semesta telah berjaya mengumpul keuntungan berjumlah hampir RM50 juta,” katanya.

Thursday, September 22, 2011

SAMBUT ADUN BN DENGAN KAIN RENTANG “MASIHKAH ENGKAU INGAT”

Sila sambut delegasi 240 ADUN BN yang berkampung di seluruh DUN Selangor dengan kain rentang “Masihkah Engkau Ingat 51 Tahun Ketika BN Perintah Di Selangor”.  Sebenarnya inilah yang layak untuk menymbut rombongan ADUN BN ke negeri Selangor dalam misi untuk menawan Selangor.

Apabila hilang kuasa baru teringat rakyat. Apabila hilang kuasa baru teringat masih ramai rakyat tidak kenal Umno. Apabila hilang kuasa baru teringat untuk membela rakyat.

Apa yang Umno buat ketika 51 tahun memerintah? Kenapa sekarang baru sibuk hendak mengambil berat tentang rakyat?.

Rakyat tentu masih ingat bagaimana bekas Menteri Besar Umno membelanja wang rakyat RM1.7 juta untuk lawatan ke Paris Disneyland dan Orlando Disneyland dalam masa 8 hari sahaja. Belanja bilik hotel untuk Datuk Seri Khir Toyo RM110,000. Rakyat ke Makkah 40 hari baru belanja RM10 000.

Rakyat tentu masih ingat ketika Umno berkuasa halau penduduk Kampung Berembang Ampang macam binatang. Pada hal penduduk ini penyokong tegar Umno, tetapi mereka tidak mempedulikan, kerana mereka berada di puncak kuasa

Rakyat tentu ingat zaman Umno kegiatan masjid malap seperti lampu yang tidak ada bateri. Ahli Jawatankuasa Masjid yang dilantik bukan ahli masjid. Supaya memudahkan kegiatan menjahilkan rakyat dan jauh daripada institusi agama. Umno sedar jika rakyat celik agama berarti selamat tinggallah Umno.

Rakyat tentu masih ingat ketika kerajaan Pakatan Rakyat memberi air percuma 20 meter padu kepada semua rakyat, maka pemimpin Umno mengatakan ini kerja membazir. Awas jika BN menang semua ini akan ditarik balik.

Rakyat tentu masih ingat ustaz-ustaz diburu macam penjenayah. Datuk Dr Harun Din, Datuk Ismail Kamus, Allahyarham Datuk Ishak Baharum hendak ditangkap kononnya melakukan kesalahan jenayah syariah.

Sekarang baru pemimpin Umno hendak bermuka-muka menjadi pembela rakyat. Mereka ini akan menanam janji manis, tetapi apabila mereka dapat kuasa mereka akan melanjutkan tradisi menindas rakyat.

Awas rakyat Selangor, bila bertemu dengan ADUN BN yang berkampung di tempat tuan-tuan tolong ingatkan kepada mereka “Masihkah Engkau Ingat 51 Tahun  Berkuasa”. Paling cantik sekali ialah rakyat Selangor kena tanya kepada wakil rakyat yang datang daripada negeri yang BN perintah. Adakah rakyatnya mendapat air percuma, kifalah RM2500, Tabung Warisan Anak Selangor, Guru KAFA mendapat gaji RM1300. Sudah tentu jika soalan ini dikemukan ADUN BN lari lintang pukang.

Idris Ahmad

Anwar sokong Kelantan laksana hukum hudud

KUALA LUMPUR, 22 Sept — Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan sokongannya kepada Kelantan yang sudah lebih sedekad berhasrat mahu melaksanakan undang-undang hudud sambil berkata perundangan yang diusahakan oleh kerajaan PAS itu melindungi hak bukan Islam.

Ketua Umum Pakatan Rakyat menekankan bahawa perikatan itu tidak membincangkan perkara tersebut dan ia merupakan pandangan peribadi beliau.

“Bagi saya, pada umumnya, secara dasar, saya percaya ini boleh dilaksanakan,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Anwar berkata rancangan Kelantan mahu memperkenalkan undang-undang hudud adalah spesifik dan ia meliputi dua aspek penting — pentadbiran yang adil kepada undang-undang Islam dan memastikan hak bukan Islam dilindungi.

Pagi tadi, Nik Aziz menyifatkan kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam sebagai sesuatu yang melucukan apabila meminta Menteri Besar Kelantan itu merujuk hasrat mahu melaksanakan hukum hudud kepada pentadbiran Najib.

Nik Aziz berkata mengikut protokol pentadbiran negara mana-mana surat rasmi yang dihantar kepada perdana menteri tidak akan tamat tempoh kuat kuasa apabila penyandang semasa meletakkan jawatan.

Sehubungan itu, kata Nik Aziz, beliau juga memohon Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar menarik balik surat, yang dikeluarkan ketika pentadbiran Dr Mahathir menghalang pelaksanaan hukuman hudud, membenarkan Kelantan melaksanakan undang-undang itu jika benar-benar Umno ikhlas berjuang untuk agama.

“Saya juga memohon Datuk Seri Najib Tun Razak dapat menarik balik surat tersebut,” kata Mursyidul Am PAS ini mengulas kenyaatan Dr Mahathir yang dikeluarkan di Tanjong Malim semalam.

Dr Mahathir meminta Nik Aziz memperkenalkan hukum hudud di negeri itu sekarang memandangkan beliau tidak lagi menjadi perdana menteri yang dahulunya dianggap menghalang hasrat kerajaan negeri itu melaksanaannya.

“Saya bukan perdana menteri dah, pasal apa tak laksanakan (hudud). Pi la tanya Najib kot dia nak bagi... ni dia (Nik Aziz) dok salahkan saya kononnya pasai saya, (PAS) tak dapat laksana hukum hudud,” katanya. MK

Pembahagian Kerusi Pakatan Di Selangor Selesai

Rundingan pembahagian kerusi antara parti gabungan Pakatan Rakyat di Selangor telah selesai dengan keputusan mengekalkan status quo dalam pilihan raya umum lalu.

Dengan itu, PKR akan kekal bertanding di 21 DUN, PAS di 20 kerusi dan DAP pula sebanyak 15 kerusi, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad.
 
"Pembahagian kerusi di Selangor sudah selesai... PAS masih beranggapan (untuk) berperanan (memenangi) undi orang Melayu," katanya.

Bercakap dalam sidang media di Shah Alam hari ini, Khalid berkata, sebarang cadangan pertukaran tempat bertanding antara parti bergabung perlu dibawa kepada rundingan pimpinan tertinggi mereka.

Dengan pembahagian itu, Khalid yang juga ahli jawatankuasa PAS berharap parti Islam itu akan menang di semua kerusi yang ditandingi.

"Sekurang-kurangnya kalau dahulu lapan (kerusi), kita (mesti) menang 12 atau 13 kerusi untuk memastikan kedudukan PAS lebih kukuh," katanya.

Manakala di kerusi parlimen pula, Khalid mendedahkan, terdapat cadangan supaya PAS bertanding lebih di kerusi negeri itu, bagaimanapun ia perlu diputuskan PAS Pusat.

Sementara itu, mengulas pemilihan calon pilihan raya, Khalid berkata nama yang dicalonkan kawasan dan sayap parti sebelum tarikh akhir 31 Ogos lalu akan diserahkan kepada PAS Pusat hujung bulan ini.

"Kita akan majukan kepada Pusat untuk membuat penapisan dan pengesahan," katanya yang juga anggota parlimen Shah Alam. MK.

Monday, September 19, 2011

Hasan Ali: I will fight UMNO-BN to the end

Sep 19: PAS Central Committee member and Selangor Exco Dr Hasan Ali has dismissed rumours that he would join UMNO as lies.

"In my heart, there is only the struggle for Islam (PAS), not UMNO.

"Why should I do that (join UMNO) when UMNO is terminally ill, when its machinery and armada are sinking?" asked Hasan.

He was responding to claims by UMNO-leaning blogs that he would soon leave the Islamic party to join UMNO.

He also strongly denied a claim that he had met UMNO vice president Hishammuddin Hussein to facilitate his entry into UMNO.

Describing the claims as "cheap provocations", Hasan reiterated his support for PAS and Pakatan Rakyat.

"Be assured that I will remain with PAS and continue to serve the Pakatan Rakyat government to fight UMNO-BN to the end," he added.

Sunday, September 18, 2011

Selamat Pengantin Baru : Saupi Azran & Imanina

Selamat pengantin baru semoga berkekalan hingga akhir hayat, dimurahkan rezeki, dipanjangkan usia, dipermudahkan segala urusan dan dianugerahkan kebahagiaan selamanya dari kami barisan kepimpinan PAS dan seluruh jemaah PAS Dusun Tua dan Hulu Langat. 

Semoga lebih bersemangat berjuang  bagi mempertabatkan Islam di muka bumi ini. Insyallah.

Kemerdekaan : Siapa Pejuang, Siapa Petualang

Setelah 54 tahun kemerdekaan... sejauh manakah kemerdekaan itu memberi manfaat kepada Islam. Sedangkan kita dijadikan oleh Allah sebagai khalifah dimuka bumi ini untuk meletakkan Islam ditempat yang selayaknya. Membangunkan Islam dan memerintah dengan keadilan agama.
Adakah munasabah selepas 54 tahun Islam hanya sekadar agama upacara dan beberapa juzuk-juzuk kecil sahaja di laksanakan. Sedangkan sekiranya kita ambil sebahagian agama maka pincanglah seluruh Islam itu. Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripada Islam.

Hanya dengan meletakkan Islam itu lebih tinggi dari perlembagaan sahajalah maka kita boleh mendakwa kita telah mendaulatkan Islam. Kini Islam lebih rendah daripada perlembagaan yanag diasaskan oleh Lord Reid yang mana jawatankuasanya ialah :
  • Lord William Reid - Chairman
  • Sir Ivor Jennings - Britain
  • Sir William McKell - Australia
  • Hakim B. Malik - India
  •  Hakim Abdul Hamid - Pakistan
Kemudian kita dengan bangganya mengambil perlembagaan ini.....

Terkini pula beberapa orang yang mendakwa pakar sejarah yang terdiri daripada professor mendakwa bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah pula.... Semata-mata untuk menyelamatkan maruah UmNo yang dilihat sebagai bukan pejuang kemerdekaan.

Generasi terdahulu berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan dengan mempertaruhkan nyawa dan darah.... sedangkan UmNo hanya berpakat dengan British.... yang kita pun tidak tahu apakah sebenarnya yang di sepakatkan. Namun hasil dari persepakatan itu dapat kita lihat sekarang.

 
 
 
 
 
 
 

Thursday, September 15, 2011

Kes bunuh Aminulrasyid: Kpl Jenain didapati bersalah

Koperal Jenain Subi, 49, hari ini didapati bersalah atas tuduhan membunuh remaja Aminulrasyid Amzah, yang ditembak mati di Shah Alam pada 26 April, 2010.

Mahkamah Sesyen Shah Alam memndapati Jenain bersalah atas kesalahan itu mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum 30 tahun penjara.

Hakim Latifah Mohd Tahar mendapati Jenain melakukan perbuatan itu di antara jam 1.10 dan 2 pagi di Jalan Tarian 11/2, Shah Alam pada tarikh tersebut.

Katananya, pendakwaan telah berjaya membuktikan bahawa peluru yang menyebabkan kematian pelajar sekolah itu merupakan salah satu daripada 21 butir peluru yang ditembak oleh Jenain menggunakan selaras senapang submesin-gan pada malam itu.

Pendakwaan telah membuktikan demikian dengan melangkaui keraguan munasabah, katanya.

Katanya lagi, seorang pegawai polis sepatutnya tahu bahawa tembakan pada tetapan automatik itu adalah berbahaya dan boleh menyebabkan kematian.

Muslimat PAS ajak Mashitah dialog

KUALA LUMPUR, 14 Sept: Dewan Muslimat PAS Pusat mengajak Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berdialog berhubung tuduhannya terhadap PAS dalam artikel "Episod-episod Pembohongan PAS".

Mashitah dalam tulisannya yang disiarkan di akhbar Utusan Malaysia kelmarin antaranya menuduh PAS tidak lagi mempertahankan Konsep Negara Islam, tidak bercakap mengenai hukum hudud, malah bersekongkol dalam soal penjualan arak dan rumah urut di Selangor kerana ingin mengecapi sedikit kuasa.

Ketua Penerangan Dewan Muslimat, Aiman Athirah Al Jundi berkata, pihaknya akan menghantar surat tawaran kepada Mashitah sesegera mungkin dan menunggu jawapan positif daripada Mashitah.

Athirah berkata, Dewan Muslimat akan memberi ruang kepada Mashitah untuk mengemukakan semua hujah berkaitan tuduhannnya dalam artikel tersebut dan diikuti oleh hujah panel daripada Dewan Muslimat.

"Dewan Muslimat ingin menawarkan satu program pencerahan minda kepada khalayak umum secara terarah, beradab dan bertamadun sesuai dengan sifat Islam.

"Samaada dalam bentuk forum ilmiah atau debat ilmiah atau mungkin juga wacana, terpulang kepada Mashitah untuk memilih," kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.

Menyifatkan artikel tersebut sebagai tulisan yang sangat dangkal dan bertujuan memesongkan pemikiran rakyat terhadap perjuangan Islam yang dibawa PAS, Athirah berkata Mashitah sebagai seorang Sarjana Wanita Islam tidak wajar berbuat demikian.

"Budaya penulisan tidak sihat seperti ini tidak wajar dilakukan oleh seorang yang bertaraf Senator dan Timbalan Menteri," katanya.

Beliau turut mempersoal sikap Mashitah yang hanya berani melontarkan pandangan bersifat tuduhan melulu melalui media milik Umno BN.

"Ianya sudah menjadi menjadi pemimpin politik yang lemah khususnya dari kalangan Umno BN," katanya.

Wednesday, September 14, 2011

GST - Hadiah Kemenangan Dari BN

 Lepas ini bersedialah untuk mendengar kenyataan Najib bahawa tiada kelulusan telah diberikan oleh kerajaan untuk mengenakan GST kepada rakyat. Seterusnya Najib pun tunjuk hero dengan menyuruh peniaga menyerap kos GST tersebut. Akibatnya peniaga terpaksa menaikkan harga barang dan kesannya akan dirasai oleh pengguna juga.

Siapa suka bayar cukai dan GST.... Sokonglah BN. Orang lain ikat perut macam nak mampus mereka berseronok-seronok kutip cukai macam zaman British. Sudahlah kena bayar cukai puluh ribu... segala bentuk kemudahan terutama untuk pembayar cukai mahu ditarik balik. Mereka berseronok-seronok bercuti keluar negara, beli cincin, beli bag tangan, buat program kerajaan (kempen UmNo).... Semua guna duit pembayar cukai.... duit rakyat.

Mana nak bayar cukai pintu, cukai tanah, cukai jalan, cukai perkhidmatan, cukai perniagaan, bayar lesen, bayar parking, bayar segala maknenek..... namun mereka ini berlagak dan tak hormat rakyat dan pembayar cukai. Dulu guru besar boleh beli Volvo 144 atau 244 baru.... Guru besar sekarang pun boleh pakai Volvo 144 dan 244 jugak (second hand guru besar dulu). Kesian rakyat........
______________________________________________
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata bahawa kerajaan sedang meninjau kemungkinan untuk melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) selepas pilihan raya umum akan datang.
 
Bercakap kepada pemberita selepas majlis makan malam Persidangan CEO Global Forbes Ke-11 di Kuala Lumpur hari ini, Najib berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri telah diminta untuk memastikan segala sistem sudah bersiap-sedia. Katanya, isu sekarang ialah masa yang sesuai bagi pelaksanaan berkenaan.

"Kami telah umumkan, secara prinsip bahawa kita akan memperkenalkan GST dan mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk menubuhkan sistem bagi membolehkan kita untuk melaksanakan ini.

"Persoalannya ialah masa. Saya berpendapat apabila tiba masanya, dalam masa terdekat... kemungkinan selepas pilihan raya akan datang, kami akan memperkenalkan GST," kata Najib.

Tuesday, September 13, 2011

Mahathir merepek, kata Aziz Bari

Bahang polemik kemerdekaan negara kini berpindah kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pula selepas beliau hari ini menyokong pendapat Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Zainal Kling bahawa Tanah Melayu tidak pernah terjajah.

Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Dr Abdul Aziz Bari (kiri) berkata, sebuah portal berita membuat semakan dan menemui versi berbeza pendiriannya - yang dilapor merujuk zaman prakemerdekaan sebagai "zaman penjajahan British" dan "pemerintahan kolonial British".

"Mahathir merepek; lupa? Buat-buat lupa?" soalnya merujuk kepada ucapan Dr Mahathir ketika membentangkan Rang Undang-undang Akta Perlembagaan (Pindaan) 1993 .

Sehubungan itu, Dr Abdul Aziz yang juga pakar perlembagaan berkata, persetujuan Dr Mahathir dengan pandangan Dr Zainal menunjukkan bahawa kedua-dua mereka "putar alam".

"Agaknya apa yang TDM (Tun Dr Mahathir) kata hari ini menunjukkan yang mereka semua dalam denial syndrome (sindrom penafian). "Ini bahaya sebab kalau depa betul-betul kalah nanti depa akan kata itu atas kertas saja. Depa akan terus memerintah," katanya lagi.

Dr Mahathir hari ini berkata, secara teknikalnya Tanah Melayu tidak terjajah kerana sultan memutuskan menjemput British datang menasihatkan cara mentadbir negeri. Bagaimanapun, katanya, apabila sudah berada di sini, British akhirnya beroperasi seolah-olah negara ini dijajah, sekali gus tidak memberi nasihat, tetapi arahan.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat pula berkata, walau apa pun hujahnya, pada hakikatnya British bukan menasihat, mengarahkan sultan mengikut telunjuk mereka."Bermakna British lebih berkuasa daripada baginda Sultan pada waktu tersebut," katanya sambil membariskan beberapa persoalan yang perlu dijawab Dr Mahathir dan sarjana sejarah.

Persoalan itu antaranya:
  • Siapakah pemerintah sebenar pada zaman sebelum 31 Ogos 1957? Sultan atau British?
  • Apakah rakyat Tanah Melayu sebelum merdeka wajib patuh kepada pemintah pada masa tersebut?
  • Apakah status penderhaka atau pengkhianat yang kita boleh berikan kepada Tok Janggut yang telah membunuh mata-mata terdiri daripada orang Melayu beragama Islam semasa kumpulan tersebut menyerang kepentingan pemerintah di Kota Baharu pada tahun 1915?
  • Apakah status yang boleh kita berikan kepada pegawai-pegawai Melayu beragama Islam yang bermati-matian mempertahankan pemerintah pada masa tersebut?
  • Apakah ada propaganda pemerintah pada sebelum 31 Ogos 1957 yang menyatakan bahawa sesiapa yang berlawan dengan pemerintah bererti menderhaka kepada baginda sultan?
  • Apakah salah kita menanggap Umno sebagai anak emas perintah setelah tidak diharamkan oleh pemerintah pada masa darurat 1948 sedangkan semua pertubuhan lain diharamkan?

PAS Dusun Tua Mengucapkan Selamat Menduduki Peperiksaan UPSR

Semoga Allah melapangkan minda, memberi ketenangan dan mengurniakan idea agar dapat menghadapi peperiksaan dengan jayanya. Perjalanan untuk membina masa hadapan yang lebih baik telah bermula. Mulakan dengan langkah yang betul dan matlamat yang jelas agar kita berjaya di dunia dan akhirat. Insyallah. Ameen.

Perayaan Tanglung Kampung Kenangan Bt 18