Berikut adalah kenyataan bersama Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang diperakui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang dikeluarkan selepas mesyuarat tersebut.
- Mesyuarat Pakatan Rakyat malam ini memperakui dan mempertahankan dasar-dasar bersama yang telah dipersetujui sebelum ini sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Dasar Bersama dan Buku Jingga.
- Pakatan Rakyat terus memperteguhkan iltizam politik bagi mempertingkatkan daya-saing ekonomi, pendapatan rakyat, mutu pendidikan, kesihatan dan menangani kos kehidupan yang semakin menekan.
- Mesyuarat juga memperakui dan menghormati perbedaan ideologi setiap parti dalam Pakatan Rakyat sebagai sebuah permuafakatan demokratik, termasuk pendirian PAS berkenaan hukum syariah.
- Mesyuarat juga memperakui kewujudan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yakni sebelum wujudnya muafakat Pakatan Rakyat. Keadilan dan PAS menghormati perbezaan pendirian oleh DAP dalam perkara ini.
- Mesyuarat Pakatan Rakyat juga mempertegaskan bahawa kami tidak akan terheret dengan mainan politik terdesak Umno-Barisan Nasional untuk memecah belahkan kesatuan Pakatan Rakyat . Kita percaya penuh di atas kematangan dan kebijaksanaan rakyat untuk menilai suasana ini.
- Mesyuarat sekali lagi mempertegaskan bahawa muafakat dan objektif utama politik parti-parti komponen PR dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 ini adalah untuk membina kembali asas-asas kenegaraan yang telah dirosakkan oleh Umno-BN, dengan berpandukan prinsip Keadilan Sejagat (Universal Justice), Pentadbiran yang Baik (Good Governance), Kebertanggungjawaban (Accountability), Ketelusan (Transparency), Kompetensi (Competency) bagi mencapai Kemaslahatan Umum (Public Good) untuk semua rakyat.
No comments:
Post a Comment