Thursday, September 29, 2011

Hanya logo halal JAKIM diiktiraf

Berkuat kuasa 1 Januari 2012 hanya logo halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sahaja yang boleh diguna pakai dan diiktiraf di seluruh negara.

Semua sijil halal sedia ada terbatal pada malam 31 Disember dan semua pihak perlu mengemukakan permohonan baru kepada pengeluar tunggal iaitu Jakim.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu sejajar dengan penguatkuasaan Akta Perihal Dagangan 2011 dan Persijilan Halal yang telah diluluskan oleh Parlimen pada 11 Julai lalu bagi menggantikan Akta Perihal Dagangan 1972.

"Untuk logo halal ini, pihak kita akan menguatkuasakannya pada 1 Januari 2012, bermakna selepas itu tidak ada lagi logo halal lain selain Jakim boleh digunakan, terutamanya di premis makanan dan restoran.

"Kalau ada yang gunakan logo lain, kita boleh ambil tindakan iaitu denda RM250,000 dan tiga tahun penjara bagi syarikat atau kedua-duanya sekali, manakala bagi individu denda RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali,'' katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jakim, Othman Mustapha dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal Jakim, Hakimah Mohd. Yusof.

Menurutnya lagi, 53 logo sijil halal dari luar negara juga akan ditentukan statusnya oleh Jakim.

Bayaran permohonan untuk memperbaharui sijil logo halal ialah RM100 untuk kedai makan, RM400 untuk industri kecil dan sederhana manakala RM700 buat syarikat multinasional.

No comments: