Thursday, September 22, 2011

Anwar sokong Kelantan laksana hukum hudud

KUALA LUMPUR, 22 Sept — Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan sokongannya kepada Kelantan yang sudah lebih sedekad berhasrat mahu melaksanakan undang-undang hudud sambil berkata perundangan yang diusahakan oleh kerajaan PAS itu melindungi hak bukan Islam.

Ketua Umum Pakatan Rakyat menekankan bahawa perikatan itu tidak membincangkan perkara tersebut dan ia merupakan pandangan peribadi beliau.

“Bagi saya, pada umumnya, secara dasar, saya percaya ini boleh dilaksanakan,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Anwar berkata rancangan Kelantan mahu memperkenalkan undang-undang hudud adalah spesifik dan ia meliputi dua aspek penting — pentadbiran yang adil kepada undang-undang Islam dan memastikan hak bukan Islam dilindungi.

Pagi tadi, Nik Aziz menyifatkan kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam sebagai sesuatu yang melucukan apabila meminta Menteri Besar Kelantan itu merujuk hasrat mahu melaksanakan hukum hudud kepada pentadbiran Najib.

Nik Aziz berkata mengikut protokol pentadbiran negara mana-mana surat rasmi yang dihantar kepada perdana menteri tidak akan tamat tempoh kuat kuasa apabila penyandang semasa meletakkan jawatan.

Sehubungan itu, kata Nik Aziz, beliau juga memohon Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar menarik balik surat, yang dikeluarkan ketika pentadbiran Dr Mahathir menghalang pelaksanaan hukuman hudud, membenarkan Kelantan melaksanakan undang-undang itu jika benar-benar Umno ikhlas berjuang untuk agama.

“Saya juga memohon Datuk Seri Najib Tun Razak dapat menarik balik surat tersebut,” kata Mursyidul Am PAS ini mengulas kenyaatan Dr Mahathir yang dikeluarkan di Tanjong Malim semalam.

Dr Mahathir meminta Nik Aziz memperkenalkan hukum hudud di negeri itu sekarang memandangkan beliau tidak lagi menjadi perdana menteri yang dahulunya dianggap menghalang hasrat kerajaan negeri itu melaksanaannya.

“Saya bukan perdana menteri dah, pasal apa tak laksanakan (hudud). Pi la tanya Najib kot dia nak bagi... ni dia (Nik Aziz) dok salahkan saya kononnya pasai saya, (PAS) tak dapat laksana hukum hudud,” katanya. MK

No comments: