Wednesday, November 30, 2011

Apabila PM Memberikan Isyarat Yang Salah

KUALA LUMPUR, 30 Nov: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) merasa terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya jentera Umno bersiap sedia menghadapi Pilihan raya Umum ke-13 yang disifatkan sebagai ‘luar biasa’ dengan tindakan ‘luar biasa’.

Ketua penerangannya, Riduan Mohd Nor berkata, DPP Malaysia menganggap kenyataan Datuk Seri Najib sebagai bahaya kerana boleh disalah tafsir oleh pelbagai pihak, memandangkan beliau adalah Perdana Menteri dan mempunyai kuasa di negara ini.

“DPP Malaysia hairan, bagaimana ungkapan sedemikian boleh keluar dari mulut Perdana Menteri Malaysia,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, walaupun ia diucapkan terhadap jentera dalaman Umno, namun ia sudah menjadi berita yang semua rakyat membaca dengan pelbagai persepsi.

Bagi sesetengah pihak, ujarnya ucapan Najib boleh memberi makna akan berlaku sesuatu yang buruk terhadap rakyat dan negara.

Justeru, katanya DPP Malaysia mempersoalkan, apakah PM sudah meramalkan sesuatu yang luar dari kebiasaan akan berlaku dalam PRU ke 13 kali ini.

“Mungkinkah akan berlaku insiden-insiden buruk dalam PRU ke 13 nanti?” tanya beliau lagi.

Bagi DPP Malaysia, ujarnya ucapan itu tidak sepatutnya keluar dari mulut Perdana Menteri, seakan-akan mengejutkan serta memakutkan rakyat.

Sepatutnya, beliau berkata Najib menenangkan rakyat dengan jaminan PRU ke 13 adalah PRU yang terbaik, paling aman, serta berlangsung dalam suasana penuh demokrasi.

Untuk itu, tambahnya DPP Malaysia telah sedia mempersiapkan jentera pemuda PAS diseluruh peringkat juga dengan persiapan ‘luar biasa’.

“Kali ini seluruh jentera pemuda PAS diingatkan supaya bersedia menghadapi apa juga serangan yang bakal dilakukan oleh Umno BN dalam pelbagai bentuk,” ujarnya.

Menurutnya, sudah 12 kali PRU dihadapi, dan sudah acap kali juga serangan bertali arus dikenakan terhadap jentera PAS khususnya pemuda PAS di seluruh negara.

Malah, ujarnya pemuda PAS pernah dipukul seperti di Pilihan Raya Kecil Ijok, Bagan Pinang dan lain-lain lagi.

Tambahan pula, katanya PRU ke 13 nanti akan berlangsung dalam suasana sistem pilihan raya yang masih tempang dan pincang dan dalam keadaan demokrasi yang kontang dari kebenaran.

Justeru, katanya tidak hairanlah jika berlaku sekali lagi manipulasi undi, undi pos yang meningkat mendadak, pengundi hantu yang kembali turun mengundi, beli undi, rasuah pilihanraya, rakyat negara asing yang turun mengundi, fitnah melalui media, akses media yang berat sebelah dan lain-lain lagi.

“Semua insiden ini pernah berlaku sebelum ini dan tidak mustahil akan berlaku lagi nanti.

“Insya Allah, DPP Malaysia telah mempersiapkan mental kesemua petugas dengan kesemua kemungkinan sesuatu yang ‘luar biasa’ yang akan berlaku,” katanya lagi.

Beliau menambah, PRU 13 adalah masa terbaik untuk menukar kerajaan yang sudah tamat tempoh.

“Selamatkan Malaysia dari pemimpin yang korup, rasuah dan mementingkan diri sendiri,” katanya.

Pakatan jamin kuasa Melayu (160 dari 222)

Adakah munasabah hanya 60 kerusi bukan Melayu dari 222 jumlah kerusi parlimen membolehkan  mereka berkuasa. Sama ada Ahmad Maslan pembohong ataupun Orang Melayu yang tidak cerdik...! Kenapa tidak ditambah kerusi untuk orang Melayu lagi? Berapa banyak kerusi yang majoriti penduduknya orang Melayu diserahkan kepada bukan Melayu? - pas@dusuntua

KUALA LUMPUR, 30 Nov — Presiden PAS memberi jaminan parti Islam itu bahawa orang Melayu akan kekal berkuasa dan terus menikmati segala hak di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat, sekali gus mengetepikan dakwaan pemimpin Umno yang terus menakut-nakutkan kaum itu dengan ‘sentimen perkauman’.

“Ia bukan sahaja satu jaminan, tetapi juga realiti,” kata Datuk Seri TG Abdul Hadi Awang dengan tegas kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di bangunan Parlimen semalam.

TG Hj Hadi (gambar) menegaskan, isu itu tidak harus timbul kerana kerusi yang ditandingi pemimpin-pemimpin bukan Melayu dalam Pakatan Rakyat hanya sekitar 60 berbanding 222 bahagian yang dipertandingkan.

“Dalam geografi politik Malaysia, bilangan kerusi ditandingi DAP pada masa sekarang hanya 40 berbanding 222 kerusi. (Jadi) bagaimana DAP, jika pun ia menang kesemua kerusi, akan mengambil alih? Ia tidak betul.

“Campur dengan PKR, kerusi (bukan Melayu) hanya 60 daripada 222 dan yang baki kerusi Melayu... jadi ia sesuatu yang tidak masuk akal,” kata beliau.

Dalam kenyataan pagi semalam, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan dipetik berkata orang Melayu akan hilang segala hak dan kuasa mereka sekiranya Pakatan Rakyat memenangi lebih banyak kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum akan datang.

Senada dengan pendirian itu, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan persidangan tiga syap parti itu malam tadi turut mengecam sambil mendakwa PAS tidak boleh menggantikan Umno.

Ahmad dipetik berkata, senario paling buruk berkenaan masa depan orang Melayu negara ini ialah apabila wujud “Parlimen tergantung” seperti di Australia, di mana Barisan Nasional tidak mampu melaksanakan agenda polisi-polisi ekoran hanya majoriti mudah.

“Jika wujud Parlimen tergantung macam di Australia, katakan 112 kerusi bagi kerajaan berbanding 110 bagi pembangkang, keadaan paling buruk akan berlaku.

“Bahasa Melayu akan hilang (kedudukan), kata selamat tinggal kepada Kesultanan Melayu, malah pembangkang DAP tidak akan hormati institusi diraja... mereka tidak pernah terima gelaran diraja meskipun mereka ditawarkan,” kata beliau pada satu forum parti sempena perhimpunan agung tahunan 2011.

“Kata selamat tinggal kepada Islam sebab mereka (DAP) adalah ejen Kristian... dalam bercakap mengenai agenda Melayu, kita tidak boleh lari daripada ini,” kata Ahmad.

Bagaimanapun TG Hj Hadi mengetepikan kenyataan Ahmad sebagai satu “ancaman kosong” kerana timbalan menteri itu mahu menggunakan isu perkauman untuk menyatukan Melayu di bawah Umno.

“Pihak yang kalah jika Pakatan mencapai kejayaan ialah Umno. Yang akan menggantikan mereka ialah kami di PAS dan Pakatan,” kata TG Hj Hadi lagi.

“(Jadi) ini ancaman kosong... (ia hanya) mahu mempromosikan sentimen rasis, satu kenyataan yang tidak tepat dengan mengambil kira geografi politik Malaysia,” kata beliau lagi. MI.

Tuesday, November 29, 2011

Jihad UmNo

Maka sekonyong-konyong berpesanlah Timbalan Presiden UmNo dalam persidangan agongnya dan mungkin persidangan terakhir menjelang PRU13. Tidak juga mustahil persidangan terakhir sebelum menjadi pembangkang.

Maka menyebutlah beliau tentang jihad yang katanya “Jihad untuk keadilan. Jihad untuk pertahan hak. Percayalah, pilihan raya umum nanti mempunyai makna yang cukup  dalam kepada kelangsungan kita. Pilihan raya ini adalah medan jihad dan saudara-saudari adalah para mujahid dan mujahidah,” katanya merujuk kepada perwakilan ketiga-tiga sayap itu.

Cuma yang tidak ditulis dalam berita bahawa jihad mereka dijanjikan pahla dan syurga. Sama ada tidak yakin yang mereka berada dalam kebenaran ataupun takut dikatakan rasuah pahla dan syurga. Apabila sudah kelemasan maka berpautlah apa sahaja hatta akar taugeh. Mungkin Utusan akan menambah pula selepas ini...

Hendak dijawab nampak kita bodoh.... dibiarkan menyakitkan hati.....

Kalau hendak berjihad berjihadlah kerana Allah SWA. Berjihadlah untuk menegakkan agama Allah yang maha suci ini. Kalau hendak berjihad berjihadlah untuk mempertabatkan Islam. Orang Islam tak semestinya Melayu... dan orang Melayu belum tentu Islam. Adakah kita hendak meletakkan Melayu itu lebih mulia dari Islam?

Tahniah Kepad Pejuang-Pejuang Kita....


Pemenang Anugerah Pertubuhan Dakwah Sukarela wakil Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor, Ashri Lateh, Tokoh Maal Hijrah 1433 Hijrah/2011Masihi Datuk Ismail Kamus, Tokoh Aktivis Masyarakat, Jamaluddin Elias, Tokoh Keluarga Mithali Said Husin dan Tokoh Saudara Kita Muhammad Chan Abdullah bergambar selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor di Masjid Negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

SHAH ALAM, 26 Nov (Bernama) -- Penceramah dan pendakwah agama bebas Datuk Ismail Kamus dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah 1433H Negeri Selangor sempena sambutan Maal Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Beliau menerima wang tunai RM20,000 daripada kerajaan negeri dan Lembaga Zakat Selangor (LZS), sijil penghargaan, pingat Maal Hijrah, sepersalinan pakaian dan pakej mengerjakan umrah yang disampaikan Tengku Sulaiman Shah, wakil kekandanya, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ketika ditemui pemberita, Ismail berkata beliau bersyukur dan gembira kerana sumbangannya dalam menegakkan syiar Islam dihargai kerajaan negeri.

Tokoh Saudara Kita pula disandang pemilik restoran makanan Cina Muslim Muhammad Chan Abdullah, 58, manakala pesara guru agama Said Husin, 80 yang mempunyai 19 anak, dianugerahkan Tokoh Keluarga Mithali dan Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia Jamaludin Elias, 48, menerima anugerah Tokoh Aktivis Masyarakat.

Mereka masing-masing menerima wang tunai RM10,000 sumbangan kerajaan negeri dan LZS, sijil penghargaan, pingat Maal Hijrah, sepersalinan pakaian serta pakej mengerjakan umrah.-- BERNAMA

Monday, November 28, 2011

Festival Seniman Jalanan

 
 
 
 
 
 

Harta dan nyawa menjadi taruhan demi sebuah perjuangan suci

Sempena sambutan maal hijrah, Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru anak-anak muda supaya bangkit dari tidur yang panjang.

Ketua Pemuda, Ustaz Nasrudin Hassan dalam perutusan yang dikeluarkan semalam berkata, kita berada selekoh akhir untuk membuat pecutan kemenangan ke garis penamat.

Katanya,kebangkitan anak muda mewarnai gerakan perubahan adalah suatu yang sangat didambakan.

“Setiap individu  khasnya anak muda menghayati sejarah agung ini dan bersedia untuk  melakukan sebuah perubahan total ke arah pembentukan masa depan negara yang aman, sejahtera, harmoni dan mendapat lindungan rahmat serta keampunan Allah swt.

“Bahawa perjuangan besar untuk melunaskan sebuah perubahan dan amanah gerak kerja menghadapi cabaran yang mengundang implikasi besar, namun itulah harga sebuah perjuangan yang mesti dibayar oleh para pejuang .

“Harta dan nyawa menjadi taruhan demi sebuah perjuangan suci,” kata Nasrudin.

Menurutnya,  hijrah kaya dengan kisah pengorbanan sama ada nyawa dan harta.

Sambutan maal hijrah peringkat kebangsaan diadakan di Putrajaya pagi tadi.

Friday, November 25, 2011

Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011

KUALA LUMPUR, 25 Nov — PAS akan mengambil tindakan mahkamah untuk menyekat Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 yang dibentangkan bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, semalam.

Peguam parti itu Mohamed Hanipa Maidin berkata, beliau akan mewakili PAS minggu depan untuk memohon perintah mahkamah berhubung perkara tersebut.

Rang undang-undang itu telah dibentangkan untuk bacaan kali kedua semalam dan Dewan Rakyat akan membahaskannya minggu depan.

“Kita tidak akan tunggu rang undang-undang ini diluluskan menjadi undang-undang baru kita cabar. Kita akan mengambil tindakan mahkamah untuk proses rang undang-undang ini menjadi undang-undang,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Dipetik Harakahdaily, Hanipa yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat berkata, tindakan mahkamah itu adalah berasas kerana kerajaan tidak mempunayi kuasa untuk menggubal RUU mengikut pandangan mereka sahaja.

“Kuasa kerajaan di bawah Perlembagaan Negara. Jadi kalau mereka melangkaui perlembagaan, kita berhak mengambil tindakan mahkamah,” katanya.

Menurut beliau, ada perkara dalam rang undang-undang itu yang akan dibahaskan minggu hadapan itu melanggar Perkara 10 (1) (b) iaitu hak untuk berhimpun.

“Ada beberapa peruntukan dalam rang undang-undang ini tidak boleh dilaksanakan langsung. Sebagai contoh kerajaan kata 30 hari untuk beri notis berhimpun. Maksudnya kalau kena beri notis begitu, rakyat telah dihalang (untuk berhimpun).

“Begitu juga kanak-kanak bawah 15 tahun tidak boleh menyertai himpunan, sedangkan kanak-kanak juga ialah rakyat. Contoh kalau ada sekolah dirobohkan dan kanak-kanak ini berhimpun, dalam rang undang-undang ini kata tak boleh tapi dalam perlembagaan boleh. Jadi rang undang-undang ini bercanggah dengan perlembagaan,” jelas beliau.

Turut hadir sidang media itu ialah Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan dua orang ahli jawatankuasa PAS Pusat iaitu Dr. Dzulkefly Ahmad dan Dr. Hatta Ramli.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berada dalam keadaan tertekan dan berusaha menunjukkan kepada rakyat bahawa beliau sedang melakukan reformasi dalam demokrasi.

Namun katanya, segala tindakan Najib selepas pengumuman beliau pada 15 September lalu untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ternyata bercanggah.

“Kita melihat pemerintahan Najib yang berada dalam tekanan dan dan beliau mewujudkan tanggapan oleh rakyat bahawa beliau komited untuk memulihkan demokrasi.

“Tapi sebaliknya beliau menunjukkan tindakan yang kontra dengan apa yang dikatakan,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor.

Tuesday, November 22, 2011

Kisah Tahyul Melayu

Mutakhir ini banyak penulisan meluahkan kebimbangan terhadap kekuasaan orang Melayu Islam – seolah-olah melihat dengan jatuhnya kerajaan Umno Barisan Nasional (BN), maka kekuasaan orang Melayu juga akan turut hilang.

Kewujudan Pakatan Rakyat (PR) dilihat akan melemahkan kekuasaan orang Melayu dan juga akan menghakiskan kekuatan Islam di negara ini.Pandangan begini bukan baru, malah semakin lumrah dalam pemikiran sebahagian besar penulisan dan cetusan idea di kalangan pemikir Melayu Islam.

Namun, apa yang penting ialah “Adakah pemikiran ini bertolak kepada fakta dan realiti sebenar atau hanya satu luahan rasa tanpa berpijak kepada fakta yang nyata?”

Bagi menjawab kebimbangan golongan ini, kita harus berpijak kepada sejarah negara dan kedudukan kekuasaan Melayu dan agama Islam selama ini.

Sejak negara ini merdeka, Umno adalah tunjang kekuasaan BN dan Umno-lah yang diharapkan memelihara maruah Islam dan kaum Melayu. Selama 54 tahun nasib Melayu dan Islam terbela, dan kalaulah Umno tewas maka orang Melayu akan hancur dan semakin lemah. Itulah pemikiran yang hendak diterapkan di kalangan rakyat, agar umat Islam dan kaum Melayu akan sentiasa was-was dan ketakutan untuk kehilangan Umno.

Tapi, wajarkan ketakutan begitu? Sekali imbas, atas permukaan ada terasa seperti benar, namun fikirkanlah selepas membaca hujah-hujah di bawah ini.
  1. Kalau betul Umno pentingkan kekuasaan Melayu Islam, kenapa tiada tambahan kerusi di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah - sehinggakan ada kawasan parlimen yang jumlah pemgundinya mencecah hampir seratus ribu orang.
  2. Kenapa tambahan kerusi banyak pula dilakukan di Sarawak dan Sabah?
  3. Umno dah tewas lebih 20 tahun di Kelantan, apakah kuasa Melayu dan Islam hilang di Kelantan? Bahkan Islam bertambah megah di Kelantan dengan pelaksanaan pentadbiran sifar rasuah, dan terus memperjuangkan perlaksanaaan undang-undang Islam di sana.
  4. Kalaulah benar Umno ikhlas untuk menjaga Melayu dan Islam, kenapa royalti minyak Kelantan tidak dibayar sehingga kini walaupun ada perjanjian jelas yang mewajibkan Petronas melalui kerajaan pusat membayar royalti tersebut. Apakah orang Kelantan yang memilih PAS dan penyokong Umno di Kelantan yang majoritinya Melayu Islam, bukan Melayu Islam sebenar pada kaca mata Umno sehingga pelbagai penindasan dilakukan sejak tahun 1990?
  5. Kenapa Umno sanggup serahkan beberapa kerusi parlimen yang dahulunya ditandingi oleh Umno kepada parti lain seperti yang berlaku di Kuala Selangor, Kuantan, Raub, Port Dikson dan puluhan kerusi yang lain. Bukan ke ini Umno sendiri yang melakukan pengkhianatan kepada Melayu?
  6. Siapakah yang membuang tulisan Jawi dari sistem pendidikan kalau bukan kerajaan Umno dan menteri yang mencadangkannya pun dari Umno?
  7. Siapa yang meluluskan pelbagai jenis loteri dan judi halal untuk berakar umbi di negara ini kalau bukan pemimpin Umno?
  8. Apakah hanya Melayu Umno (yang pandai mengampu sahaja, yang mengkritik tak termasuk) dianggap sebagai Melayu Islam, sedangkan kalau Melayu dari PAS, PKR dan DAP mereka ini bukan Melayu Islam?
Kebimbangan hilangnya kekuasaan orang Melayu dilihat tertunjang dengan kekuasaan Umno – seolah-olah tiada parti lain dalam Malaysia yang akan memelihara kuasa Melayu dsn agama Islam.

Namun hakikatnya, dalam soal membela Melayu, Umno selama ini tidak mampu menaikkan martabat dan sosio-ekonomi mereka dengan ketara walaupun sudah 54 tahun memerintah negara. Begitu juga, dalam soal membela Islam, berapa kali Umno melacurkan Islam dan menggunakan Islam hanya apabila keadaan perlu untuk memelihara kepentingan politik semata-mata?

Janganlah rakyat Melayu Islam terus membuta tuli menyokong kerajaan yang sengaja menakut-nakutkan mereka dengan propaganda, “Tanpa Umno, mereka hilang tempat bernaung.” Sebaliknya, mereka harus menuntut Umno untuk berubah dan sekiranya tidak, slogan ‘Asal bukan Umno’ akan menjadi laungan dan pilihan mereka pada pilihanraya akan datang.

Pemikiran sempit dari era sebelum merdeka dilihat masih dianuti oleh parti perkauman sehingga hari ini. Namun, pemikiran sedemikian diyakini akan bakal berakhir dengan kemunculan gabungan politik berbentuk majmuk seperti PAS-PKR-DAP, di mana ketiga-tiga parti ini boleh menerima semua bangsa sebagai ahli mereka tidak seperti gabungan Umno-MCA-MIC.

Kini, rakyat negara ini dilihat sudah bersedia berhadapan dengan era baru yang lebih terbuka.

Harus diingat, kaum dan bangsa seseorang bukanlah pilihan seseorang manusia - ianya ketentuan Allah. Lantaran itu, Islam melihat kemuliaan bukan kepada bangsa dan warna kulit tetapi pada ketaqwaannya.

Apakah yang rakyat Melayu Islam nak bangga kalau rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa berleluasa dalam negara diketuai oleh sebuah kerajaan yang majoriti ahlinya mendadik dada sebagai pembela orang Melayu dan Islam?

Rakyat Melayu Islam mesti melakukan perubahan besar untuk melahirkan umat Islam yang kuat akidahnya dalam berpegang kepada ajaran Islam. Mereka perlu segera menyelaraskan tindakan mereka dengan ajaran Islam dan menterjemahkan sifat sebenar Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam, tanpa mengira apakah mereka Melayu, Cina, India dan lain-lain.

Kerana itu, janganlah mereka terus mempertahankan kerajaan korup, rasuah dan pelbagai penyelewengan dengan berselindung semata-mata atas nama mempertahankan Melayu dan Islam. Ini bukan sahaja memalukan umat Melayu Islam malah mencemarkan agama Allah kerana penganutnya bersifat sebegitu rupa.

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan ManKetua Penerangan PAS Pusat

Sampah Masyarakat

Kepada mereka yang terlibat membuang sampah dikawasan ini,tolong fikirkan kesan pencemaran alam sekitar. Terutama pencemaran bau yang terpaksa dihadapi oleh penduduk sekitar. Disana terdapat kawasan perumahan dan kedai makan...sekarang di sini sudah jadi lokasi pembiakan nyamuk dan lalat. Tikus-tikus dah lama membesar. Perkhidmatan mengangkut sampah tak tentu masa. Kadangkala sampah mengunung, melambak ketepi sungai, dengan air busuk mengalir ke Sungai Langat yang menjadi sumber minuman rakyat Selangor...fikir-fikirkan lah.............
Beginilah pemandangan yang amat menjijikan serta berbau busuk ditepi jalan utama menuju ke distinasi perkelahan Sg Congkak dan Pangson..
Baki sampah dikutip....sisa-sisa ini terbiar membusuk, mengotorkan bahu jalan,saban minggu ribuan pengunjung dari segenap pelusuk melalui jalan ini menuju ke distinasi perkelahan. Begitu juga mereka yang berbasikal dihujung minggu untuk menyedut udara Langat tetapi terpaksa menyedut udara yang tercemar di sini.
Bila didesak kerana sampah dah mengunung barulah kontraktor datang memugut... Itu pun baki sampah berselerak menjadi habuan binatang liar......penduduk terpaksa menyedut udara busuk yang tercemar.....SALAH SIAPA? Yang buang sampah, MPKj atau kontraktor? Sampai bila kita hendak salahkan orang lain?
 
Aduan telah dibuat kepada semua pihak yang berkenaan malangnya tiada tindakan tegas yang diambil. Masyarakat setempat sering mengadu..kesian mereka yang tinggal berdekatan... Tolonglah kasihanilah mereka. Mereka juga saudara kita.

Harimau Baham Geruda

Stadium Gelora Bung Karno yang mulanya bagai mahu pecah akibat sorakkan penyokong-penyokong fanatik Indonesia akhirnya senyap sunyi apabila ketua pasukan negara Baddrol Bakhtiar menyumbat gol kemenangan dalam penentuan sepak penalti Malaysia 5 Indonesia 4 selepas terikat  seri 1-1.

Tahniah diucapkan. Semoga semangat juang ini diterjemahkan dalam perjuangan kita dalam membina negara yang lebih adil dan berkebajikan.

Perasmian Bilik Gerakan UPU Dusun Tua Oleh PJ YB Dr Rani Osman

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Monday, November 21, 2011

ADUN Umno Seleweng Tanah?

Dewan Pemuda Pas Puchong hari ini telah membuat laporan polis, di Balai Polis Bukit Puchong keatas Dato Satim Diman, Ahli Dewan Undangan Negeri ( Adun) Seri Serdang. Laporan polis dibuat atas isu penyelewengan penjualan tanah anugerah kerajaan negeri Selangor di Science Park 2, Cyberjaya pada tahun 2006.

Dewan Pemuda Pas Puchong membuat laporan melalui Ketua Pemudanya, Sdr Mohd Rosharizan B Mohd Roslan yang juga merangkap Penyelaras Dun N29 Seri Serdang.

“ Kami berasa kecewa diatas apa yang telah dibongkarkan oleh YB Dato Menteri Besar Selangor ketika perbahasan Dewan Undangan Negeri Selangor yang lalu, dimana beliau telah mendedahkan Dato Satim Diman terlibat secara langsung dalam isu penyewelengan tanah di Science Park 2, Cyberjaya” katanya.

“Sebagai pemimpin dan juga wakil rakyat, seharusnya beliau menjaga harta, tanah atau apa sahaja aset kerajaan dengan baik, bukannya mengambil kesempatan begini untuk kepentingan peribadi. Dato Menteri Besar mendedahkan bahawa Dato Satim Diman adalah ahli Lembaga Pengarah dan juga pemegang saham terbesar di dalam syarikat Nikmat Inai Sdn Bhd”.

Pendedahan tersebut menyaksikan seorang lagi pemimpin BN Selangor terpalit dengan pelbagai penyelewangan. Tanah dilokasi Science Park 2 seluas 80 ekar di Cyberjaya itu dianugerahkan oleh kerajaan negeri kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Satim yang juga Ketua UMNO Bahagian Puchong, bagaimanapun telah menjual tanah tersebut kepada syarikat sendiri pada harga RM 1.80 sekaki persegi atau RM 6.5 juta. Susulan itu, syarikatnya menjual semula kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada harga RM 5.30 sekaki persegi atau RM 19.2 juta sedangkan Nikmat Inai Sdn Bhd masih belum habis bayar lagi kepada PKPS.

Menurut Mohd Rosharizan lagi, “Kami mendesak supaya pihak polis menyiasat kes ini, dan sekiranya sabit kesalahan dan terbukti wujud penyelewangan dan salah guna kuasa, bawa beliau ke muka pengadilan dan beliau mesti didakwa. Begitu juga dengan pihak SPRM, kami mendesak supaya fail siasatan mesti dibuka dengan segera, dan heret beliau ke mahkamah sekiranya dakwaan Dato Menteri Besar ini jelas terbukti benar.”

“ Kami juga meminta supaya Dato Satim Diman tampil mempertahankan diri dengan membawa bukti yang jelas, sekiranya beliau benar-benar tidak terlibat dalam isu penyewelengan tanah ini.  Dewan Pemuda Pas Puchong melihat isu ini dengan serius kerana sebagai pengundi di Dun Seri Serdang, kami sangat “mengasihi” beliau dan tidak mahu lagi rakyat di Dun Seri Serdang tertipu dengan memilih pemimpin sebegini dalam PRU ke 13 akan datang.

“ Dewan Pemuda Pas Puchong juga mengucapkan takziah kepada beliau atas pembongkaran ini kerana selama ini Dato Satim Diman dilihat sebagai seorang pemimpin UMNO Selangor  yang bersih dari segala bentuk keselahan dan penyewelengan sepanjang tempoh karier politik beliau” katanya.

Isteri Menteri Besar Selangor, Puan Sri Salbiah Ke Kampung Orang Asli Sg Congkak