Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan perasaan simpatinya terhadap Datuk Bung Mokhtar dan isterinya Zizie Izette A Samad yang didapati bersalah menikah tanpa kebenaran oleh mahkamah rendah syariah.
Menurut Dr Mohd Asri (kiri), kedua-dua pasangan sensasi itu terpaksa menerima hukuman "hanya kerana berpoligami".
"Dalam masa yang sama, kita boleh melihat berbagai filem dan aktiviti seni yang berpelukan dan bermesraan atas pentas, ditonton ramai tidak pernah diambil tindakan.
"Jika pun pihak jabatan agama ingin membendung salah laku atau salah guna poligami, buatlah peruntukan undang-undang yang tegas kepada suami yang berpoligami tetapi tidak menjalankan tanggungjawab," katanya.
Semalam, selain dijatuhi penjara sebulan, Bung Mokhtar - ahli parlimen Kinabatangan - didenda RM1,000 bagi satu lagi kesalahan bernikah tanpa kebenaran dan berhadapan dengan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.
Isteri keduanya, Zizie - seorang pelakon - pula didenda RM1,000 bagi setiap dua kesalahan.
Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur bagaimanapun membenarkan permohonan Bung Moktar untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sebulan terhadapnya.
Dalam satu kenyataan semalam, Dr Mohd Asri berpendapat, bagi membendung ketidakadilan poligami dengan menghalang poligami hanyalah meningkatkan maksiat semata-mata.
"Malanglah, jika yang berkahwin diambil tindakan, tetapi 'ada yang ternama tidak berkahwin' bebas dengan pasangannya yang ternama," kata Pensyarah agama di Universiti Sains Malaysia (USM) itu.
No comments:
Post a Comment