Friday, May 28, 2010

Selangor dedah senarai ADUN, MP terima kuota rumah

Senarai nama ADUN dan ahli parlimen yang menyalah-gunakan kuota pembelian rumah kos rendah untuk kepentingan peribadi dan ahli keluarga terdekat akan didedahkan.

Sehubungan itu, menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, pihaknya menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan membuat pemantauan secara terperinci untuk memastikan kuota yang diperuntukkan itu diagihkan dengan betul .

“Ketika pemerintahan kerajaan BN, setiap ADUN diperuntukkan kuota untuk mengagihkan rumah kos rendah kepada mereka yang layak .

“Selepas Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran pada Mac 2008, kuota yang diamalkan sejak sekian lama itu telah dimansuhkan kerana diragui ketelusannya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Serah semula rumah

Menurut Khalid, pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor hari ini, beliau juga telah mengarahkan pemantuaan dibuat terhadap setiap kakitangan kerajaan yang memiliki rumah kos rendah sejak 2004 sehingga sekarang.

“Ba
gi kakitangan kerajaan yang telah memiliki rumah kos rendah, mereka akan dipanggil untuk memberi penjelasan dan jika terdapat unsur-unsur penyelewengan dalam pemilikan itu, tindakan sewajarnya akan diambil.

“Kakitangan kerajaan ini juga akan diminta untuk menyerahkan semula rumah berkenaan kepada Kerajaan Negeri untuk dijual kepada mereka yang benar-benar layak,” katanya.

Khalid berkata dalam kes dua pegawai kanan kerajaan negeri - Sharipah Marhaini Syed Ali dan Hanizah Katab, mereka telah diminta menyerahkan semula unit yang dimiliki kepada kerajaan negeri untuk dijual.

“Tindakan ini tidak bermakna kerajaan negeri cuba menyekat mana-mana kakitangan kerajaan daripada memiliki rumah kos rendah asalkan mereka benar-benar layak serta menepati syarat dan prosedur yang telah ditetapkan,” katanya.

Menteri Besar Selangor itu juga berkata pihaknya mahu memastikan pengagihan rumah kos rendah dibuat secara adil sejajar dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban yang ditekankan dalam pentadbiran.

No comments: