Sekembalinya dari Oslo dan Cambridge beberapa urusan menyangkuti Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor perlu diteliti dan diberi perhatian segera. Hari ini jadual saya padat dengan pertemuan serta perbincangan yang diadakan di Shah Alam.
Manakala urusan parti serta Pakatan Rakyat turut menjadi agenda utama, apatah lagi pilihanraya kecil Sibu semakin hampir. Sementara saya di luar negara beberapa perkembangan yang mengejutkan, sedih serta memberansangkan diikuti dengan dekat sekali.
Saya difahamkan acara khusus pendaftaran pengundi yang dilancarkan Pakatan Rakyat mendapat sambutan menggalakkan. Namun apa yang kekal tidak berubah adalah judul muka hadapan akhbar milik pemerintah. Kerana berhasrat mengalih pandangan dari tragedi menimpa allahyarham adik Aminulrayid, saya dijadikan tajuk berita utama.
Hanya minggu lalu saya dituding boneka Israel, nah tiba-tiba semalam, terpampang di muka hadapan, saya tidak lagi bersekongkol dengan kawan-kawan di Amerika Syarikat kerana isu kontrak Apco dengan Kerajaan Malaysia serta kebimbangan akan anasir perisikan asing menyusup masuk ke dalam PDRM. Melucukan kerana isu itu dibesar-besarkan walhal ianya hanya memetik rencana yang berjudul The Reversal Of Anwar Ibrahim.
Saya ingin tegaskan jikalau melindungi kepentingan nasional dan Rakyat Malaysia, saya dikatakan “meninggalkan” kawan-kawan walaupun siapapun mereka, itu bolehlah dikira sebab yang absah! Sedari mula saya sememangnya tuntas menyatakan sikap kepada rakan-rakan di dunia Barat. Tidak salah berkawan berasaskan persefahaman membina jambatan dialog. Jambatan yang sama selain merapatkan jurang juga digunakan untuk tegas menyatakan prinsip, bukan membuta tuli menurut perintah.
Apa yang membimbangkan pula berdasarkan rencana tersebut, Dato’ Sri Najib layak diangkat sebagai sekutu Amerika Syarikat kerana sanggup menuruti apa sahaja kehendak negara itu. Saya menggesa perdana menteri agar segera memberi penjelasan berhubung dakwaan rencana tersebut kerana ianya menggambarkan Dato’ Sri Najib sebagai boneka Amerika Syarikat yang sanggup dicucuk hidungnya untuk ditarik ke mana sahaja.
ANWAR IBRAHIM
No comments:
Post a Comment