Thursday, May 20, 2010

Tdak mustahil PRU Ke-13 April pada 2011

KUALA TERENGGANU – Tdak mustahil PRU Ke-13 akan datang diadakan pada April depan bersekali dengan pilihanraya di Sarawak, walaupun kebiasaanya pilihanraya negeri itu dibuat secara berasingan.

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Mustafa Ali berkata demikian ekoran kekalahan BN dalam pilihanraya kecil Parlimen Sibu 16 Mei lalu. “Saya yakin dengan perkembangan yang berlaku ini (Sibu) pilihan raya Sarawak akan dilewatkan sikit.

“Saya lihat, tidak mustahil PRU Ke-13 akan datang pada April 2011 tahun depan dan disekaliguskan dengan pilihanraya di Sarawak. Biasanya, diadakan secara berasingan tetapi barang kali akan disekalikan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di bilik mesyuarat pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, dekat sini, semalam.

Menurutnya, pilihan raya umum di negara ini tidak pernah diadakan kurang dari tempoh tiga tahun.

PRU 12 yang lalu diadakan pada Mac, 2008, maka Mac, 2011 ia genap tempoh tersebut.

Dato’ Mustafa menjangka, PRU 13 di adakan serentak dengan Pilihanraya negeri Sarawak bagi percaturan BN menyelamatkan kubu terakhirnya.

Dengan mengadakan kedua-dua pilihanraya serentak dapat mengurangkan tekanan ke atas Sarawak kerana pemimpin Pakatan Rakyat juga menghadapi PRU di Semananjung.

“Pakatan Rakyat boleh menang jika pilihan raya dibuat di Sarawak sahaja berdasarkan perkembangan di Sibu.

“Jika diadakan di Sarawak sahaja tekanan cukup hebat dan akan jadi nasib seperti pilihan raya kecil di Sibu. Barisan Nasional akan kalah,” tegasnya juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat

BN terpaksa merangka strategi agar Sarawak tidak dijadikan tumpuan ‘serangan’ Pakatan Rakyat.

“Jika dilihat sekarang ini keseluruhan kekuatan BN yang ada maka, Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak dianggap sebagai kubu terakhir bagi Barisan Nasional.

“Jadi, kubur terakhir ini jika Sabah dan Sarawak ‘roboh’ (kalah) habis pemerintahan BN di negara ini, Insya’Allah,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya Pakatan Rakyat mula diterima di Sarawak setelah rakyat hilang keyakinan kepada kerajaan Barisan Nasional.

Menurutnya, PAS, DAP dan Parti KeADILan Rakyat (PKR) kini menjalinkan kerjasama yang sangat baik dalam satu kumpulan pakatan.

“Pakatan Rakyat kini mula diterima di Sarawak. Sebab dahulunya, masing-masing bertanding sendiri. DAP tanding sendiri, PAS tanding sendiri, PKR tanding sendiri. Tetapi kali ini kita (PAS) bekerjasama dalam satu kumpulan pakatan (Pakatan Rakyat),” ujarnya.

Beliau menegaskan, PAS bersedia pada bila-bila masa jika Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan walaupun seawal tahun 2011.

Pada pilihan raya kecil di Parlimen Sibu, Sarawak calon DAP-Pakatan Rakyat berjaya memenangi kerusi tersebut menewaskan calon BN, Robert Lau Hui Yew dan calon Bebas, Narawi Haron dengan kelebihan majoriti 398 undi.

No comments: