Wednesday, December 7, 2011

Dakwat Kekal Untuk PRU13?

Dakwat kekal akan digunakan sepenuhnya dalam proses pengundian pada pilihan raya umum Kk-13 (PRU-13) yang dijangka diadakan tidak lama lagi, kata timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Katanya, penggunaan dakwat kekal itu selaras dengan keputusan Dewan Rakyat yang meluluskan 10 cadangan dalam laporan awal yang dikemukakanoleh Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) berhubung pembaharuan sistem pilihan raya di negara ini yang dibentangkan awal bulan ini.

“Dakwat kekal akan digunakan pada PRU-13. Itu hasrat dan SPR hormati keputusan Parlimen tetapi banyak perkara perlu diambil tindakan sebab babitkan pindaan Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.

“Menerusi undang-undang baru ini, orang yang datang mengundi perlu dicalit dakwat, baru dapat kertas undi. Dulu (PRU-12) tidak boleh laksana sebab tidak ada pindaan, sekarang tidak ada masalah kerana sudah dapat persetujuan semua pihak.

“Bagaimanapun, tindakan pentadbiran akan diambil terlebih dulu termasuk menyemak kandungan dakwat bagi mengelak bahan kimia terlarang serta meminta pandangan Majlis Fatwa sekali lagi,” kata Wan Ahmad dipetik Berita Harian hari ini.

Akhbar berkaitan Umno itu juga memetik beliau berkata SPR sedang mengambil langkah melaksanakan keputusan itu dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara bagi mengelak sebarang pertikaian undang-undang pada masa depan.
Selain penggunaan dakwat kekal, PSC juga membentangkan sembilan lagi cadangan dalam laporan awalnya yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 1 Disember lalu.

Ini termasuk pengundian awal, pengundi tidak hadir luar negara, pengundi luar kawasan, penukaran kawasan pendaftaran, pembersihan daftar pemilih dan pameran rang daftar pemilih tambahan, ketelusan proses mengundi, penambahbaikan proses pencalonan dan pengukuhan SPR.

Penggunaan dakwat kekal sepatutnya diperkenalkan pada pilihan raya umum Mac 2008, tetapi dibatalkan pada saat-saat terakhir.

Sementara itu Ketua pengarah Jabatan Kimia, Ahmad Ridzuan Ibrahim berkata jabatan itu bersedia untuk menguji sama ada sampel dakwat kekal yang bakal digunakan dalam pilihan raya umum akan datang mempunyai bahan yang melanggar syarak.

Bagaimanapun, jabatan berkenaan masih belum menerima arahan rasmi untuk menjalankan tugas berkenaan, katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

"Setakat ini belum ada arahan rasmi, tapi kalau diperlukan kita akan buat mengikut apa yang diminta. Kita ada keupayaan untuk jalankan kerja tersebut," katanya.

"Tugas kita lebih ke arah mengesahkan dakwat itu boleh tahan mengikut apa yang dinyatakan oleh pembekal, katakan kalau (pembekal kata) kekal dua hari, ia benar-benar akan kekal dua hari," katanya lagi.

Namun apakah jaminan yang dakwat kekal ini tidak menghadapai nasib yang sama seperti pada PRU12?

No comments: