Tuesday, December 27, 2011

Hasil transformasi pentadbiran: Melayu mudah berniaga di Selangor

Kajian seorang pakar ekonomi-politik Universiti Malaya (UM), Profesor Edmund Terence Gomez mendapati rata-rata usahawan Melayu di Selangor mengatakan lebih mudah untuk menjalankan perniagaan di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (Pakatan) berbanding di era Barisan Nasional(BN).

Laporan itu menyebut, usahawan mengatakan kos operasi perniagaan di bawah Pakatan lebih rendah kerana tidak perlu membayar ‘komisen’ kepada pihak-pihak tertentu untuk mendapatkan lesen atau mendapat konsensi projek. Amalan sedemikian lazimnya berleluasa semasa pentadbiran BN.

Jelas Edmund lagi, situasi ini mencerminkan realiti persekitaran perniagaan negara di mana usahawan Melayu yang tulen dan berdaya saing sering diketepikan oleh dasar dan pentadbiran BN. Hanya usahawan yang mempunyai hubungan dengan pe-mimpin-pemimpin Umno mendapat faedah daripada dasar-dasar kerajaan.

“Akibatnya, golongan usahawan Melayu tulen terpaksa bersaing bukan sahaja dengan usahawan daripada komuniti lain, tetapi dengan golongan usahawan yang ada kaitan dengan Umno.

“Jadi di sini kita nampak PKR (Parti Keadilan Rakyat) mendapat sokongan daripada golongan ini kerana mereka disisihkan daripada mendapat akses kepada dasar, konsensi dan projek kerajaan,” kata Edmund Gomez.

Beliau berkata demikian di dalam satu sesi forum ekonomi bertajuk, Ekonomi Malaysia : Adakah Kita Berada di Halatuju Sebenar? di Shah Alam, baru-baru ini.

Edmund Gomez menerangkan, walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB) mempunyai matlamat yang murni, iaitu untuk membasmi kemiskinan dan mengurangkan jurang pendapatan antara komuniti di Malaysia, ia tidak menepati sasaran.

“Semasa pemerintahannya, (bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad membelanjakan berjuta-berjuta ringgit untuk membentuk kelas kapitalis Melayu.

“Namun pada hari ini, tiada satu pun perniagaan Melayu yang tersenarai sebagai sepuluh perniagaan terbesar di Malaysia,” katanya.

Persoalan sebenarnya sekarang, Edmund Gomez berkata, adalah bukan tentang jurang pendapatan antara komuniti. Ia adalah tentang jurang pendapatan dalam sesuatu komuniti itu sendiri.

“Kita tengok, walaupun di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB), negeri-negeri yang masih mencatat kadar kemiskinan yang tinggi, seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah adalah negeri yang majoriti penduduknya Melayu,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif kumpulan pemikir, Research For Social Advancement (REFSA), Teh Chi Chang, mengakui kebenaran yang dikatakan Edmund Gomez.

Menurut beliau, bersandarkan kepada kajian yang dibuat Refsa berkenaan situasi di Pulau Pinang, di mana Presiden Persatuan Kontraktor Kelas-F, Tahir Jalaluddin Hussain memperakui bahawa ‘komisyen’ tidak perlu dibayar lagi di bawah kerajaan Pakatan.

Refsa dalam kajian bertajuk ‘Polisi Tender Terbuka Di Pulau Pinang Mewujudkan Kontraktor Melayu Yang Berkeupayaan’ menjelaskan amalan sistem tender terbuka yang dilaksanakan kerajaan Pulau Pinang berjaya mewujudkan kelas usahawan Bumiputera yang berdaya saing, berupaya dan mampu berdiri di atas kaki sendiri serta tidak mengharapkan hubungan kroni dan politik serta amalan rasuah.

Kajian itu juga berkata, 70 peratus tender projek kelas F yang dikeluarkan Penang Deve-lopment Corporatian (PDC) dari Mac 2008 sehingga Ogos 2011 diperolehi oleh kontraktor bumiputera.

Refsa turut menjelaskan, sistem akses yang adil, peningkatan persaingan dan pemberian projek hanya kepada yang layak dan berkeupayaan, adalah faktor-fak-tor pemangkin dan penyumbang pertumbuhan ekonomi untuk merangsang kepada kejayaan pertumbuhan ekonomi di Pulau Pinang dan Malaysia.

“Tentunya kerajaan Pakatan Selangor mengamalkan dasar dan polisi yang sama seperti kerajaan Pulau Pinang dalam mengamalkan sistem tender terbuka dan ketelusan.

“Sepertimana kajian kami, Refsa setuju bahawa pentadbiran yang mengamalkan ketulusan akan merangsang pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Menurut Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Azrul Azwar Ahmad Tajuddin, dasar ketelusan, kebertanggungjawaban dan sistem tender terbuka yang menjadi dasar di Selangor memang sangat diperlukan untuk persekitaran ekonomi dan perniagaan supaya lebih maju.

“Persekitaran yang kondusif untuk usahawan beroperasi adalah sangat diperlukan, dan perkara ini mampu meningkatkan kadar pelaburan asing apabila usahawan dan pelabur mempunyai keyakinan yang tinggi dengan sistem yang telus di Selangor.

“Ini secara tidak langsung mereka juga akan lebih yakin untuk terus mempertingkatkan pelaburan di negeri ini,” katanya.-Selangor Kini.

No comments: