Wednesday, December 21, 2011

Ust Nasha ikrar setia kepada PAS

Bekas timbalan presiden PAS, Ust Nasharudin Mat Isa yang menerima asakan demi asakan berhubung kesetiaannya dalam parti, hari ini membuka mulut dan menyatakan beliau "tidak mempunyai niat sebesar zarah sekalipun untuk menyertai Umno."

Katanya, dakwaan bahawa beliau terperangkap dalam agenda Umno, "terlalu jauh menyimpang daripada kebenaran dan langsung tidak berasas."
"Saya tegaskan di sini bahawa saya adalah ahli PAS dan perjuangan saya kekal bersama PAS untuk menjunjung risalah Islam, menyumbang kepada ummah dalam apa juga keadaan," katanya.

Bercakap dalam satu kenyataan hari ini, Nasharudin juga berkata beliau belum pernah mengungkapkan untuk menyertai Umno sepanjang pembabitan beliau dalam parti itu.

"Janganlah gunakan alasan mudah seperti ini untuk menyimpulkan tindakan, pandangan atau perhitungan politik saya pada ketika kita mengharung gelombang percaturan politik yang jauh lebih mencabar," katanya lagi.

Beliau yang popular dengan nama jolokan Ust Nasha di kalangan peminatnya, juga tampil membuat penjelasan ringkas hari ini untuk menjawab "tohmahan" di media dan laman sosial.

Jelasnya, sebagai seorang yang terdidik dalam dua dunia dan latar belakang berbeza iaitu bukan agama dan kemudiannya berpindah kepada pengajian Syari’ah dan Perbandingan Undang-Undang, beliau menyedari sepenuhnya bahawa pembabitan langsung di pentas politik nasional pasti mengundang seribu satu macam cabaran dan dugaan.

Katanya, dalam dunia dakwah, kita dididik dengan hakikat bahawa laluan dakwah ini tidak dibentang dengan hamparan permaidani merah, jauh sekali untuk sentiasa direnjis dengan wangian bunga.

“Saya akur sepenuhnya dengan Tariqud-Dakwah (Jalan Dakwah) yang saya lalui ketika ini telah lebih awal disusuri oleh para anbiya’, sahabat dan ulamak terdahulu daripada kami yang memilih PAS sebagai pentas perjuangan  politik dalam konteks sistem demokrasi berparlimen sedia ada di Malaysia,” ujarnya yang juga ahli Parlimen Bachok.

No comments: