Friday, December 23, 2011

Isu LPF : Ke Arah Mana Masyarakat Hendak Di Bentuk?

KUALA LUMPUR, 23 Dis: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) membantah tindakan Lembaga Penapis Filem (LPF) yang tidak lagi akan menapis sesebuah filem sebelum ditayangkan, sebaliknya menyerahkan peranan itu kepada pengarah dan penerbit filem.

Pengerusi Lajnah Kesenian, Kebudayaan dan Sukan DPPWP, Fadhil Osman berkata pihaknya melihat keputusan itu amat tidak wajar kerana ia boleh menyebabkan berlakunya pelbagai perlanggaran dalam disiplin filem di negara ini khususnya membabitkan adegan-adegan yang tidak wajar menjadi tontotan umum.

Katanya, DPPWP menganggap keputusan ini amat membahayakan terutama kepada industri perfileman negara memandangkan kuasa menapis sesebuah filem diserahkan sepenuhnya kepada pengarah dan penerbit filem.

Sudah tentu, katanya filem itu akan ditapis mengikut selera dan citarasa pengarah atau penerbit.

Beliau menambah, penerbit atau pengarah pula akan melihat kepada kehendak dan citarasa penonton semasa bukan mengikut hukum agama.

“Isu moraliti dalam filem akan dipandang remeh dan boleh ditafsir dengan pelbagai tafsiran menurut hawa nafsu oleh mereka yang berkepentingan.

“Keputusan ini juga boleh menyebabkan industri pefileman negara berkecamuk dan boleh mengundang pelbagai kemarahan orang ramai,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Bagi mereka, ujarnya keuntungan adalah keutamaan dengan mengikut pasaran semasa tanpa mengerti persoalan hala dan haram sesuatu filem yang ditayangkan.

Bagi DPPWP, katanya LPF perlu melihat kepada suasana dan permasalahan dalam masyarakat hari ini khususnya terhadap anak-anak muda.

Dengan peningkatan gejala sosial yang semakin parah, kata beliau apakah LPF mahu menambah lagi masalah sosial dalam negara ini hasil daripada penayangan filem yang tidak tertapis.

Beliau berkata, DPPWP bimbang pengaruh filem akan menyebabkan keruntuhan akhlak remaja yang lebih serius sebagaimana yang berlaku kepada masyarakat di negara Barat.

“Kawalan atau tapisan yang dilakukan oleh LPF selama ini boleh meyakinkan untuk sesebuah filem ditonton oleh setiap lapisan masyarakat,” katanya.

Menurutnya lagi, meskipun tidaklah sempurna, setidak-tidaknya, tidak ada adegan yang terlepas pandang serta prinsip akauntabiliti akan dipertanggungjawabkan terhadap pihak terlibat dalam menerbitkan sesebuah filem.

“Dengan ini barulah industri filem di negara ini mampu berkembang dengan sihat dan baik,” katanya.

Justeru, tambah beliau DPPWP mendesak LPF agar menarik balik keputusan untuk tidak menapis filem pada tahun depan.

Katanya, LPF perlu melihat maslahat umum dengan melihat kesan daripada keputusan itu kepada masyarakat terutama generasi muda hari ini dan masa depan negara.

No comments: