Thursday, August 21, 2008

Munajat Perdana sempena peperiksaan UPSR dan PMR

Pengisian rohaniah terus dipergiatkan bukan hanya sekadar majlis-majlis ilmu semata-mata. Program Munajat Perdana Selasa lepas di Masjid Batu 14 yang telah menghimpunkan anak-anak pelajar yang bakal menduduki peperiksaan. Juga turut serta para ibu bapa yang hadir memberikan sokongan serta menadah ilmu dan menyantap halwa rohani dari Al-Fadhil Ustaz Farhan.

Program dimulakan sejurus selepas solat Maghrib dengan bacaan Yasin dan Munajat. Kemudian para peserta berehat untuk sedikit jamuan dan diteruskan dengan Munajat dan Solat Sunat Hajat berjemaah selepas Solat Isya seterusnya program ceramah dimulakan.

Dalam suasana kekalutan berbagai peristiwa dan kejadian negatif berbentuk jenayah dan gejala negatif kesan didikan yang semakin longgar terhadap masyarakat hari ini, mendorong pihak MTD Dusun Tua untuk terus menggiatkan usaha untuk bersama mentarbiah ahli masyarakat setempat.

Agak tertarik dengan ucaptama Presiden PAS di dalam Muktamar PAS minggu sudah yang ada mengingatkan kepada golongan pendakwah untuk memantapkan kaedah dan memperbaharui kaedah dakwah bagi menarik golongan terutamanya di zaman moden serba mencabar ini.

Kaedah yang digunapakai oleh Al-Fadhil Ustaz Farhan sangat menarik perhatian dan tidak membosankan para peserta Munajat Perdana sekaligus meninggalkan kesan positif terutamanya di kalangan anak-anak pelajar. Penyampaian yang diiringi tayangan video dan slide cukup memberikan maklumat yang berguna serta mengingatkan masalah-masalah dan gejala buruk yang perlu diinsafi semua pihak.

Turut hadir Sdr. Mohd Sany Hamzan yang juga Pengarah Jawatankuasa Pengurusan DUN Dusun Tua, Sdr. Mohd Jan Sulong Ahli Majlis MPKj merangkap Pengarah Majlis Tindakan DUN Dusun Tua dan beberapa AJK MTD Dusun Tua.

Kepada para pelajar khususnya di DUN Dusun Tua, kami mengucapkan selamat berjaya di dalam peperiksaan yang akan datang dan teruslah menjadi pelajar, anak yang soleh serta hamba Allah yang bertaqwa yang berjaya di dunia dan di akhirat. Tahniah kepada Al-Fadhil Ustaz Musa Baharudin juga merupakan Penyelia Masjid-Masjid dan Surau Hulu Langat yang telah berjaya menyelia program ini dari awal hingga berjaya.

Semoga lahir insan soleh di DUN tercinta ini buat menjadi benteng aqidah dan keutuhan agama Allah. Ma'an Najah...





















No comments: