Friday, August 1, 2008

PAS tolak kerjasama dengan UMNO; nak bincang boleh

KUALA LUMPUR, 31 Julai: Selepas bermesyuarat selama lima jam, PAS memutuskan tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan Umno samada di peringkat negeri atau pusat tetapi sedia berjumpa dengan mana-mana pihak di negara ini.

"Oleh itu, tidak berbangkit soal PAS menerima tawaran dari Umno," kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kepada sidang media selepas mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulamak di Pejabat Agung PAS hari ini.

Beliau dengan ditemani oleh Setiausaha Agung, Datuk Kamarudin Jaffar dan Ketua Muslimat, Nuridah Salleh membaca keputusan tiga perkara dalam mesyuarat itu hari ini.

Keputusan itu adalah:-

  1. PAS tidak akan ada sebarang kerjasama dengan Umno.
  2. PAS terbuka untuk bertemu dengan semua pihak, NGO atau parti politik.
  3. PAS akan kekal bersama Pakatan Rakyat dan akan bergerak secara aktif dan positif dalam Pakatan. Untuk itu PAS akan berusaha untuk memujuk anggota Parlimen Umno untuk menyertai PAS atau PKR dalam Pakatan bagi membentuk kerajaan baru.

Ketika menjawab persoalan dari wartawan, Abdul Hadi berkata, selepas ini jika ada sebarang pertemuan tidak akan dijalankan secara sulit lagi.

PAS juga, katanya, menghargai sokongan orang bukan Islam dan akan meningkat pengiktirafan kepada mereka selepas ini.

PAS juga, katanya, menyokong penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mencadangkan kerajaan menghakimi kes dakwaan terhadap beliau menurut hukum Islam.

"Jika tidak ada, Umno bertanggungjawab untuk membolehkannya," kata Abdul Hadi dalam sidang media yang berlangsung hanya kira-kira lima minit bermula jam tiga petang itu.

No comments: