Sunday, January 3, 2010

Hakim 'Tak Relevent' Augustine Paul Meninggal Dunia

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri S. Augustine Paul meninggal dunia semalam akibat penyakit kronik yang dideritainya sejak beberapa lama. Beliau berumur 65 tahun.

Beliau meninggalkan seorang isteri Datin Seri Dr Mary Paul dan dua anak iaitu Dr Juliana Sharmini, 29, dan Alan John, 27.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 2.45 petang di Hospital Selayang, kata menantunya Robert Devan, 37.

Augustine, lulusan Barristerat Law dari Inner Temple, England, memulakan kerjaya beliau pada 1971 sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan kemudiannya sebagai majistret di Ipoh, Perak.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Sesyen di Temerloh, Pahang, Melaka dan Pulau Pinang dan merupakan pengerusi jawatankuasa khas mengenai percukaian sebelum dilantik Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Mei, 1998.

Kira-kira enam bulan selepas disahkan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, beliau diberikan tugas besar mengendalikan kes rasuah dan liwat membabitkan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bermula pada November 1998 dan bagi hampir enam bulan, nama beliau sering menjadi bahan berita berikutan sering membuat keputusan "tidak relevan" dalam kes itu.

Tujuh tahun kemudian, Augustine dilantik Hakim Mahkamah Persekutuan dan beliau mempunyai beberapa bulan lagi sebelum bersara apabila menghembuskan nafas terakhir semalam.

No comments: