Sudah hampir dua tahun PR mentadbir Selangor dengan berhadapan pahit maung dan tekanan dari pelbagai pihak tidak terkecuali rakan dan lawan, media perdana dan media alternatif, penyokong dan pembangkang, jahil dan alim dan mereka yang sewaktu dengannya. Bukanlah mudah untuk memerintah apabila pembangkang dan pemerintah mempunyai kekuatan yang agak seimbang. Tetapi itulah cabaran yang perlu kita hadapi.
Tekat kita untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat dan rakyat tanpa mengira agama, kaum dan latarbelakang politik mengatasi semua cabaran itu. Alhamdulillah setakat ini kita berjaya walaupun tidak seratus peratus namun masih membanggakan. Segala kekurangan akan terus diperbaiki bagi memastikan matlamat untuk membina sebuah kerajaan yang adil dan berkebajikan menjadi kenyataan di Selangor.
Tahun 2010 ini bakal menjanjikan cabaran yang lebih sengit lagi. Insyallah kita akan merancang dan menyusun strategi bagi menambahbaik segala kekurangan yang ada. Kita akan menyusun semula struktur pentadbiran dan mengkemaskini jentera agar matlamat kerajaan negeri akan tercapai. Insyallah.
Penyusunan program dan aktiviti antara MTD dan JPD akan dibuat bagi memastikan segala program pembangunan dan perkhidmatan sosial dapat diselaraskan. Menyusun semula aktiviti dan peruntukkan bagi memastikan keutamaan diberikan kepada yang mendesak dan segera. Dan yang lebih penting menepati golongan sasar.
Disamping itu kedudukan sebagai Ahli Majlis akan digembling sepenuhnya bagi memastikan tahap perkhidmatan MPKj kepada penduduk dan pembayar cukai dapat dipertingkatkan.
Tidak ketinggalan juga usaha memperbaiki mutu perkhidmatan jentera pentadbiran seperti JKKK dan Ketua Kampung. Ini bagi memastikan jentera pentadbitan ini mampu menjadi perantara yang berkesan antara rakyat dan kerajaan.
Insyallah semuanya akan kita bentangkan apabila tiba masanya nanti. Apa yang kita harapkan adalah sokongan dari semua pihak bagi memastikan hasrat kita untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan.
Ini bukan masanya untuk menunjukkan kejagohan atau keegoan. Peranan dan kerjasama dari semua pihak amatlah dituntut. Kita mahu kehadiran PR diselangor ini memberi kesan yang positif kepada semua lapisan masyarakat. Jangan kita jadikan perbezaan pendapat dan pandangan peribadi kita menjadi penghalang kepada program transformasi ini.
Sokonglah kami jika kami berjaya dan tegurlah kami jika kami tersilap.
No comments:
Post a Comment